SITUASI DAN MAKLUMAT TERKINI MENGENAI MUTASI SPIKE PROTEIN COVID-19
KKM ingin memaklumkan bahawa survelan genomik untuk virus SARS-CoV-2 dijalankan secara berterusan. Daripada 11 Jun 2021 sehingga 19 Jun 2021, sebanyak 22 kes varian baharu Variant of Concern (VOC) virus SARS-CoV-2 telah dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan iaitu:
- 14 kes varian Beta (B.1.351); dan
- Lapan (8) kes varian Delta (B.1.617.2).
Sebanyak 14 kes baharu varian Beta (B.1.351) yang telah dilaporkan adalah masing-masing tiga (3) kes di Selangor, Sabah, dan Terengganu, dua (2) kes di Kedah, dan masing-masing satu (1) kes di Perak, Johor, dan Kelantan.
Manakala lapan (8) kes baharu bagi varian Delta (B.1.617.2) adalah masing-masing dua (2) kes di Johor, Wilayah Persekutuan Labuan, dan Negeri Sembilan, serta masing-masing satu (1) kes di Perlis dan Pulau Pinang.
Sehingga 19 Jun 2021, jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 183 kes. Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 167 kes adalah VOC dan 16 kes adalah VOI.
VOC yang dilaporkan adalah seperti berikut, iaitu:
- 137 kes adalah varian Beta (B.1.351) (kesemua kes jangkitan tempatan);
- 21 kes varian Delta (B.1.617.2) (12 kes jangkitan tempatan dan 9 kes import); dan
- Sembilan (9) kes adalah varian Alpha (B.1.1.7) (4 kes jangkitan tempatan dan 5 kes import).
VOI yang dilaporkan pula adalah seperti berikut, iaitu:
- 12 kes adalah varian Theta (P.3) (kesemua kes jangkitan tempatan);
- Tiga (3) kes adalah varian Eta (B.1.525) (kesemua kes import); dan
- Satu (1) kes varian Kappa (B.1.617.1) (kes import).



KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik untuk virus SARS-CoV-2, memperbanyakkan ujian saringan COVID-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian-varian ini di dalam komuniti.
Masyarakat dinasihatkan untuk segera tampil mendaftarkan diri dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin dalam usaha membantu negara dalam membentuk imuniti kelompok. Ini juga merupakan salah satu langkah bagi mengekang kesan buruk penularan varian dalam kalangan komuniti.
Rujuk : KPKESIHATAN.COM