COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

INISIATIF PERKHIDMATAN KESIHATAN MENTAL DAN SOKONGAN PSIKOSOSIAL (MHPSS) KKM

Sepanjang pandemik COVID-19, terutama ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlaku, masyarakat sememangnya terkesan dari segi emosi dan kesihatan mental. Tekanan tidak hanya dialami oleh kakitangan di sektor awam dan petugas kesihatan atau frontliners, tetapi tekanan turut dirasai oleh golongan lain dalam kalangan masyarakat.

Talian Bantuan Sokongan Psikososial yang diwujudkan semenjak 25 Mac 2020 mendapati, kebanyakan pemanggil memerlukan sokongan emosi dan juga kaunseling. Daripada 1 Januari 2021 sehingga 18 Jun 2021, Talian Bantuan Sokongan Psikososial telah menerima sebanyak 122,328 panggilan. Daripada jumlah tersebut sebanyak 109,806 panggilan (89.4 peratus) adalah berkait rapat dengan isu-isu psikologi kesan daripada pelbagai masalah sosial seperti;

  • Kehilangan punca pekerjaan dan pendapatan;
  • Hilang tempat bergantung;
  • Pergaduhan antara ahli keluarga; dan
  • Masalah rumahtangga (pertengkaran, perpisahan, penceraian), penderaan (emosi dan fizikal).

mhpss-0004

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mewujudkan beberapa inisiatif dalam menangani gejala tekanan yang dihadapi berikut seperti:

  1. Bekerjasama dengan MERCY Malaysia dalam memberikan perkhidmatan talian bantuan sokongan psikososial yang berpusat di CPRC, KKM sejak 25 Mac 2020. Talian ini dikendalikan oleh pegawai psikologi kaunseling KKM serta dibantu oleh sukarelawan pegawai psikologi agensi-agensi lain dan NGO.
  2. KKM juga bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan lain seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dengan mewujudkan talian bantuan masing-masing iaitu KSK Care (JAKIM) dan Talian KASIH.
  3. Manakala di peringkat lapangan seperti hospital dan klinik kesihatan, Perkhidmatan Kesihatan Mental dan Sokongan Psikososial atau MHPSS (Mental Health Psychosocial Support Service) turut disediakan untuk kumpulan sasar iaitu;
    • Person Under Surveillance (PUS) di Stesen Kuarantin dan di rumah;
    • Pesakit COVID-19 yang dimasukkan ke hospital / PKRC;
    • Petugas kesihatan yang bertugas dalam menangani pandemik COVID-19 di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah;
    • Petugas daripada agensi lain yang terlibat dalam mengendalikan pandemik COVID-19; dan
    • Ahli keluarga kepada individu yang meninggal akibat COVID-19; dan
    • Perkhidmatan kepakaran psikiatri oleh para pakar. Mereka juga melaporkan peningkatan jumlah pesakit yang datang mendapatkan konsultasi.

Perkhidmatan MHPSS yang dilaksanakan adalah:

  • Pendidikan kesihatan mental atau Psychoeducation melalui web chat/ messenger dan QR Code;
  • Saringan kesihatan mental yang diedarkan kepada petugas kesihatan / PUI / PUS melalui borang google link
  • Melaksanakan sesi Psychological First Aid (PFA) secara individuatau berkumpulan kepada petugas kesihatan;
  • Menjalankan PFA melalui tele-kaunseling kepada pesakit dan petugas yang disyaki menghidap Covid-19 dan yang berisiko di hospital dan Stesen Kuarantin seluruh negara;
  • Memberikan sokongan emosi, sokongan psikososial, psiko-spiritual dan Grief Counseling kepada keluarga pesakit Covid-19 yang meninggal dunia;
  • Melaksanakan intervensi kaunseling yang bersesuaian kepada petugas kesihatan dan pesakit serta ahli keluarga mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19; dan
  • Menyampaikan maklumat mengenai psikologi dan emosi berkaitan kesan COVID-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan melalui pelbagai media seperti TV, radio serta melalui maya iaitu Zoom dan Skype.
  • KKM turut melaksanakan sesi webinar kepada masyarakat tentang topik kesihatan mental yang berkait rapat dengan tekanan semasa pandemik COVID-19. Sesi ini dikendalikan oleh pakar-pakar psikiatri, pegawai psikologi (klinikal dan kaunseling) dari hospital-hospital serta kaunselor dari Persatuan PERKAMA International.

KKM ingin menasihatkan masyarakat mengenai beberapa langkah yang boleh dilakukan bagi mengurangkan impak psikologikal seperti berikut:

  • Mengenal pasti punca kebimbangan dengan mendapatkan maklumat yang tepat dan betul;
  • Elakkan stigma serta melabel secara negatif mereka yang dijangkiti COVID-19 kerana boleh menimbulkan diskriminasi serta menghalang orang ramai untuk mendapatkan saringan dan rawatan;
  • Memastikan penjagaan diri yang baik bagi mengekalkan tahap kecergasan yang optima serta mendapat ketenangan jiwa;
  • Memastikan komunikasi berterusan dengan keluarga dan rakan walaupun terpaksa dikuarantin di mana ia boleh dilakukan secara atas talian atau media sosial;
  • Segeralah mendapatkan khidmat kaunseling jika perlu kerana sokongan emosi serta mental adalah amat penting; dan
  • Sentiasa peka terhadap perubahan diri serta individu yang memerlukan sokongan, disamping mengamalkan sikap saling bantu membantu.

Kesimpulannya, impak psikologi perlu diberi perhatian dalam menghadapi ancaman wabak COVID-19 ini. Umum mengetahui bahawa perasaan cemas, gemuruh serta sedih ketika menghadapi tekanan adalah sebahagian dari kehidupan terutamanya ketika berhadapan pandemik COVID-19 ini. Namun keadaan tekanan ini akan menjadi masalah jika ianya berpanjangan atau menjejaskan fungsi harian individu terbabit. Segeralah dapatkan penilaian psikiatri jika ini berlaku. Perlu diingatkan bahawa kesihatan mental adalah sama pentingnya dengan kesihatan fizikal serta pencegahan pada peringkat awal dapat membantu.

KKM mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu misalnya Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Majlis Agama, Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen di lapangan. KKM berharap lebih banyak lagi bantuan boleh diberikan kepada KKM dan NGO yang berhempas pulas menangani isu kesihatan mental ini. Diharapkan ianya dapat membantu meringankan beban masyarakat dalam menghadapi pandemik COVID-19 ini.

Rujuk : KPKESIHATAN.COM

Next Post Previous Post