SITUASI SEMASA SISTEM KESIHATAN DI MALAYSIA DAN PERANAN SEMUA PIHAK DALAM SAMA-SAMA MENDEPANI KRISIS BERHADAPAN DENGAN COVID-19
Seperti yang KKM telah maklumkan kepada umum, penularan COVID-19 semakin meruncing. Nilai Rt negara terkini adalah 1.16 dan jumlah kes dilaporkan saban hari menunjukkan tren kenaikan yang mendadak secara exponential. Kenaikan satu ribu sehingga dua ribu kes sehari adalah tidak mustahil. Kita telah melihat jumlah kes kematian tertinggi harian iaitu sebanyak 98 kes pada 29 Mei 2021 akibat COVID-19. Situasi ini juga mungkin akan berterusan dan tidak mustahil boleh terus meningkat lagi.
Jumlah katil di Unit Rawatan Rapi, hospital-hospital COVID-19, Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 semakin berkurangan dan berkemungkinan tidak mencukupi. KKM juga telah memberi amaran kemungkinan berlaku situasi di mana para doktor akan terpaksa membuat pilihan sukar untuk mengutamakan katil ICU bagi pesakit yang mempunyai potensi sembuh yang lebih tinggi berbanding pesakit yang potensi sembuhnya adalah lebih rendah (poor prognosis).
Ini adalah situasi sukar yang mendepani kita semua, dan KKM ingin menyeru semua pihak agar kita sama-sama berganding bahu bagi hadapi sekarang.
Semua pihak perlu memainkan peranan dan bertanggungjawab, tidak kira Kerajaan, agensi-agensi berkaitan dan juga rakyat secara keseluruhannya.
1. Peranan Kerajaan:
a. KKM menyambut baik pengumuman keputusan Sidang Majlis Keselamatan Negara yang telah diperincikan oleh Yang Berhormat Dato’ Seri Ismail Sabri bin Yaakob, Menteri Kanan Pertahanan sebentar tadi. Ini adalah antara tindakan yang diperlukan bagi membantu memutuskan rantaian penularan COVID-19.
b. Kawalan sempadan dan pintu masuk antarabangsa yang ketat bagi memastikan negara terlindung daripada pelbagai varian virus SARS-CoV-2 yang baharu yang terus menular di pelbagai negara. Sekatan bagi negara-negara tertentu diteruskan, tempoh kuarantin bagi penumpang yang tiba dari luar negara juga telah dipanjangkan. Tempoh kuarantin ini akan dilanjutkan kepada 21 hari berdasarkan penilaian risiko yang dijalankan. Misalnya tempoh kuarantin bagi lima (5) negara berisiko tinggi seperti India, Pakistan, Sri Lanka, Nepal, dan Bangladesh adalah selama 21 hari. Mereka yang tiba dari luar negara akan dikuarantin di stesen kuarantin yang telah dikenalpasti oleh Kerajaan.
c. Meningkatkan aktiviti-aktiviti Program Immunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bersama agensi-agensi Kerajaan dan swasta untuk mencapai liputan imuniti kelompok (herd immunity) di Malaysia.
2. Peranan Rakyat Malaysia:
a. Duduk di rumah setiap masa.
b. Sekiranya perlu keluar untuk sebarang urusan penting, lindungi diri dengan memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan sekurang-kurangnya dua (2) minit atau menggunakan hand sanitizer.
c. Ringkasan nasihat kepada orang ramai mengenai pemakaian pelitup muka:
- WAJIB mengenakan sekurang-kurangnya satu lapis pelitup muka di tempat awam (jenis perubatan atau fabrik). Pelitup muka 3 lapis perubatan menawarkan perlindungan yang lebih baik.
- SANGAT DIGALAKKAN mengenakan pelitup muka berganda terutama di tempat awam yang sesak dan kurang pengudaraan, iaitu satu (1) pelitup muka perubatan (3-ply medical/surgical mask) di bahagian dalam DAN satu (1) pelitup muka fabrik di luar.
- DINASIHATKAN juga untuk mengenakan pelindung muka (face shield) bersekali dengan pelitup muka berganda di KAWASAN AWAM RISIKO TINGGI untuk perlindungan tambahan (misalnya hospital/klinik, kawasan awam yang sesak, kawasan kurang pengudaraan)Jalani pemeriksaan segera sekiranya bergejala atau merupakan kontak kepada kes yang positif. Sekiranya didapati positif sama ada melalui ujian RT-PCR atau RTK Antigen, maklumkan kepada KKM melalui notifikasi kendiri (self-notification) di aplikasi MySejahtera atau Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran. Bawa keputusan ujian dan hadir ke COVID-19 Assessment Centre (CAC) yang berdekatan di negeri anda untuk penilaian lanjut. Untuk senarai terkini CAC rujuk: http://covid-19.moh.gov.my/hotline
- Sekiranya dibenarkan untuk menjalani Home Surveilance Order (HSO), patuhilah segala peraturan. Jangan bercampur dengan ahli keluarga atau keluar dari rumah dalam tempoh ini. Anda berisiko menjangkiti orang lain. Sekiranya kesihatan anda merosot, hubungi perkhidmatan kecemasan segera.
- Lindungilah ahli keluarga kita terutamanya warga emas dan mereka yang berisiko tinggi. Sekiranya mereka tidak sihat, dapatkan bantuan kecemasan.
3. Tindakan kesiapsagaan KKM:
a) Terus menjalankan lebih ujian di lapangan:
- Saringan COVID-19 telah menunjukkan pertambahan yang mendadak di mana purata ujian (RT-PCR dan RTK-Ag) harian hanyalah sebanyak 63,925 ujian sebelum 14 Mei 2021 berbanding purata ujian harian bagi tempoh 23 Mei 2021 hingga 29 Mei 2021 iaitu sebanyak 91,608 ujian (pertambahan sebanyak 30.2 peratus).
- Penggunaan Ujian Rapid Test Kit-Antigen (RTK-Ag) sebagai ujian saringan COVID-19 membantu bagi mengesan wabak COVID-19 dengan cepat dalam jumlah yang besar selain penyumberluaran ujian saringan COVID-19 ke makmal swasta.
b) Meningkatkan jumlah katil di hospital COVID-19 dan hospital hybrid COVID-19
- Ini dilaksanakan dengan mengenalpasti lebih banyak ruang di dalam hospital untuk ditukar fungsi (repurpose) sebagai katil ICU dan menyediakan peralatan perubatan serta kelengkapan lain yang diperlukan.
- Hospital Medan ICU di Hospital Kepala Batas serta cadangan pengambilmilikan sementara Hospital Pakar Kanak-kanak UKM juga adalah antara langkah meningkatkan kapasiti ICU.
- Kerjasama dengan NGO bantuan perubatan untuk membuka lebih banyak ICU mengikut kesesuaian kawasan dan keperluan setempat.
- Jumlah and peratus penggunaan katil di hospital COVID-19 dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (data sehingga 29 Mei 2021):
- PKRC: 27,183 katil (65 peratus penggunaan)
- Hospital COVID-19: 10,190 (85 peratus penggunaan)
- Katil ICU: 1,698 katil (88 peratus penggunaan)
- Katil ICU untuk COVID-19: 1,113 katil (104 peratus penggunaan)
- Ventilator: 2,138 (60 peratus penggunaan keseluruhan, 39 peratus penggunaan for COVID-19
c) Meningkatkan sumber manusia bagi kegunaan di semua fasiliti di atas:
Sumber tenaga manusia merupakan antara cabaran utama dan ramai anggota telah pun dimobilisasi untuk menjalankan lain-lain fungsi dalam pengurusan pandemik ini. Anggota KKM daripada pelbagai kategori termasuklah pakar bedah di beberapa hospital telah pun dimobilisasi untuk perawatan pesakit COVID-19.