Kesiapsiagaan KKM di dalam Menghadapi Pandemik COVID-19 (30/05/2021)
Jumlah kes COVID-19 yang dimasukkan ke ICU termasuk yang disahkan (confirmed), dalam siasatan dan sedang menunggu keputusan (suspected and probable) telah mencecah hampir 1,200 kes, jumlah yang tertinggi sejak pandemik ini bermula tahun lepas.
KKM telah menambah kapasiti katil ICU untuk pesakit COVID-19 secara berfasa sejak gelombang kedua pandemik ini. Terkini, dalam tempoh tiga minggu bulan Mei 2021 sebanyak 439 katil tambahan telah dapat disediakan. Secara keseluruhannya, jumlah katil ICU yang dikhaskan untuk pesakit COVID-19 (confirmed / suspected / probable) buat masa ini telah mencapai 1,114 katil.
Kebanyakan katil ICU buat masa ini digunakan untuk pesakit COVID-19, lantas menyebabkan peluang pesakit bukan COVID-19 yang lain untuk menerima rawatan rapi lebih tipis. Keadaan ini sememangnya amat menggusarkan terutama buat petugas kesihatan dan pesakit-pesakit bukan COVID-19. Walaupun jumlah katil ICU untuk pesakit COVID-19 telah ditambah, kadar penggunaan katil ICU masih di tahap melebihi 100%. Ini menyebabkan ada pesakit yang terpaksa dirawat di wad-wad biasa. Dengan pertambahan kes baru harian yang telah mencecah lebih 9,000 kes, jumlah pesakit yang memerlukan rawatan rapi juga dijangka akan terus meningkat.
KKM akan terus mengenalpasti lebih banyak ruang di dalam hospital untuk ditukar fungsi (repurpose) sebagai katil ICU dan menyediakan peralatan perubatan dan kelengkapan lain yang diperlukan. Hospital Medan ICU di Hospital Kepala Batas serta cadangan pengambilmilikan sementara Hospital Pakar Kanak-kanak UKM juga adalah antara langkah meningkatkan kapasiti ICU seterusnya.
Namun, sumber tenaga manusia merupakan antara cabaran utama dan ramai anggota kita telah pun dimobilisasi untuk menjalankan lain-lain fungsi dalam pengurusan pandemik ini. Anggota KKM daripada pelbagai kategori termasuklah pakar bedah di beberapa hospital telah pun dikerahkan untuk perawatan pesakit COVID-19.
Marilah kita kekal duduk di rumah. Jika anda mempunyai urusan penting di luar, pastikan anda mematuhi SOP agar diri dan ahli keluarga dilindungi. Kita jaga kita.


Rujuk : FB Ketua Pengarah Kesihatan KKM