SITUASI KRITIKAL COVID-19 DI NEGERI-NEGERI LEMBAH KLANG
Bermula dari Minggu Epid 12/2021 sehingga Minggu Epid 17/2021 (1 Mei 2021), KKM merekodkan peningkatan tren kes COVID-19 di Malaysia. Kumulatif kes yang dilaporkan sepanjang tempoh tersebut adalah sebanyak 79,881 kes. Daripada jumlah tersebut, negeri Selangor melaporkan jumlah kes yang tertinggi iaitu sebanyak 22,099 kes (27.7 peratus) manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur melaporkan sebanyak 7,019 kes (8.8 peratus) dan Wilayah Persekutuan Putrajaya sebanyak 264 kes (0.3 peratus).

Dari 1 Januari 2021 sehingga 1 Mei 2021, kadar insiden kes COVID-19 di Malaysia bagi setiap 100,000 penduduk adalah sebanyak 872. Tiga negeri yang mencatatkan kadar insiden kes tertinggi adalah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 1,583 diikuti dengan Selangor sebanyak 1,486 dan Wilayah Persekutuan Putrajaya sebanyak 1,140.

KKM ingin memaklumkan bahawa nilai Rt bagi COVID-19 di Malaysia juga menunjukkan peningkatan. Nilai Rt terkini Malaysia adalah 1.14 manakala nilai Rt Selangor adalah 1.20, WP Kuala Lumpur adalah 1.16 dan WP Putrajaya adalah 1.0. Ketiga-tiga negeri mencatatkan nilai Rt melebihi 1.0.
Untuk makluman, terdapat tujuh (7) buah hospital yang dikhususkan untuk rawatan pesakit COVID-19 termasuk sebuah Hospital Universiti di Lembah Klang yang merangkumi negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Sebanyak 277 buah katil kritikal (ICU) diperuntukkan bagi pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19 bagi negeri-negeri Lembah Klang. Daripada jumlah ini, sebanyak 152 katil kritikal/ICU dikhususkan untuk merawat pesakit COVID-19 dan kadar penggunaan terkini telah mencapai lebih 88 peratus.
Menurut statistik yang dilaporkan kepada CPRC Kebangsaan, kadar penggunaan katil kritikal/ICU COVID-19 terkini didapati melebihi 70 peratus di Hospital Sungai Buloh, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Ampang, Hospital Serdang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang. Manakala Hospital Selayang dan Pusat Perubatan Universiti Malaya pula melaporkan penggunaan katil kritikal/ICU COVID-19 pada kadar melebihi 50 peratus. Ini adalah berpunca daripada peningkatan kemasukan kes kritikal sebanyak 62 peratus berbanding tempoh dua (2) minggu yang lepas. Setakat hari ini, 108 unit ventilator diperlukan untuk pesakit-pesakit COVID-19 di Lembah Klang sahaja.
Kementerian Kesihatan Malaysia memantau penggunaan dan ketersediaan katil kritikal/ICU dan bukan kritikal bagi pesakit COVID-19 di Lembah Klang ini melalui Pusat Kawalan Bersepadu COVID-19 atau Unified Command Centre (UCC) Wilayah Tengah.

Antara langkah-langkah yang sedang dilaksanakan oleh UCC Wilayah Tengah bagi mengatasi kesesakan katil kritikal di Lembah Klang adalah seperti berikut:
- Pengurusan katil-katil kritikal di hospital COVID-19 di Lembah Klang dilakukan secara bersepadu di bawah seliaan UCC. Kaedah pemantauan dan pengurusan ini didapati lebih efisien agar pesakit-pesakit di hospital Lembah Klang dapat dipindahkan dari satu hospital ke hospital lain yang mempunyai kekosongan dengan lebih berkesan.
- Hospital Sungai Buloh yang beroperasi sepenuhnya sebagai hospital COVID-19 akan meningkatkan kapasiti katil kritikal/ICU secara berfasa bagi memenuhi keperluan yang meningkat. KKM telah membuat perolehan peralatan perubatan seperti ventilator sejak tahun 2020 lagi bagi membolehkan Hospital Sungai Buloh meningkatkan kapasiti katil kritikal apabila terdapat keperluan mendesak;
- Pembedahan dan prosedur elektif di hospital di sekitar Lembah Klang boleh dikurangkan atau ditangguhkan bagi membolehkan lebih banyak katil hospital dikhususkan untuk rawatan COVID-19. Ini juga membolehkan anggota perubatan dimobilisasikan ke tempat-tempat yang lebih kritikal bagi perawatan pesakit COVID-19;
- Wad-wad biasa yang bersesuaian akan ditukar fungsi kepada katil-katil kritikal (repurpose) bagi memenuhi keperluan yang meningkat. Buat masa ini terdapat 80 katil rawatan kritikal telah diwujudkan secara repurpose di sekitar Lembah Klang dan katil ini akan ditambah mengikut keperluan; dan
- KKM akan terus bekerjasama dengan hospital-hospital swasta, swasta, pengajar atau universiti di sekitar Lembah Klang bagi meningkatkan kapasiti katil-katil kritikal.
KKM mendapati peningkatan kes dan kadar penggunaan kapasiti kesihatan di negeri-negeri Lembah Klang mutakhir ini adalah amat membimbangkan. Sekiranya tren peningkatan kes COVID-19 ini berterusan, maka kapasiti kesihatan akan berada pada tahap yang kritikal dan akan memberikan impak yang negatif kepada penyampaian perkhidmatan kesihatan awam secara keseluruhannya.
Justeru, masyarakat diseru untuk sama-sama membantu KKM dengan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan dan mematuhi nasihat-nasihat kesihatan yang sering ditekankan oleh KKM bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di negara ini. Tahap pematuhan 100 peratus oleh semua pihak adalah amat diperlukan bagi membantu negara pulih semula daripada kemelut ini.
Rujuk : KPKESIHATAN.COM