SITUASI DAN MAKLUMAT TERKINI MENGENAI MUTASI SPIKE PROTEIN COVID-19 DI MALAYSIA
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan, hasil survelan genomik yang dijalankan secara berterusan sehingga kini telah mengenalpasti sebanyak 119 kes COVID-19 yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai Variant of Concern (VOC) dan Variant of Interest (VOI). Daripada jumlah ini, sebanyak 14 kes adalah jangkitan import daripada luar negara, manakala 105 kes lagi adalah jangkitan dalam negara. Daripada jumlah 119 kes yang dikesan tersebut, 104 kes adalah VOC dan 15 kes adalah VOI.
a) Variant of Concern (VOC) yang dilaporkan adalah seperti berikut, iaitu:
- 89 kes adalah varian B.1.351 (kesemua kes jangkitan dalam negara);
- Sembilan (9) kes adalah varian B.1.1.7 (5 kes jangkitan import dan 4 kes jangkitan dalam negara); dan
- Enam (6) kes varian B.1.617 (kesemuanya jangkitan import).
b) Variant of Interest (VOI) yang dilaporkan pula adalah seperti berikut, iaitu:
- 12 kes adalah varian P.3 (kesemua kes jangkitan dalam negara); dan
- Tiga (3) kes adalah varian B.1.525 (kesemua kes jangkitan import).
Bilangan kes positif COVID-19 dengan VOC dan VOI mengikut negeri sehingga 31 Mei 2021 adalah seperti berikut:

Seperti yang dapat dilihat dalam jadual di atas, virus COVID-19 jenis VOC telah dikesan di setiap negeri dalam Malaysia terutamanya bagi varian B.1.351. Oleh itu, besar kemungkinan sudah pun berlaku penularan lebih meluas dalam komuniti bagi sekurang-kurangnya satu (1) jenis VOC di semua negeri di Malaysia. Memandangkan VOC didapati mempunyai kadar kebolehjangkitan yang lebih tinggi, situasi ini perlu diambil serius oleh setiap individu. Sekiranya rantaian jangkitan penularan tidak diputuskan, ianya akan terus merebak dan lebih sukar bagi kita untuk terus membendung peningkatan kes COVID-19.
Sehubungan itu, KKM akan terus memantapkan aktiviti kawalan penyakit berjangkit termasuk meneruskan survelan genomik, memperbanyakkan ujian saringan COVID-19, melakukan pengesanan kontak dan pengasingan kes serta langkah-langkah kesihatan awam lain bagi membendung penularan varian-varian ini di dalam komuniti.
Selain pelaksanaan total lockdown yang bermula pada 1 Jun 2021, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) juga akan terus dilaksanakan bagi kawasan-kawasan dengan pelaporan kes yang tinggi. Tujuan PKPD dilaksanakan adalah untuk membendung jangkitan COVID-19 daripada menular ke lokaliti-lokaliti lain. Langkah ini akan membolehkan aktiviti pengesanan kes dilaksanakan secara bersasar dalam kalangan komuniti yang terlibat.
Dengan pelaksanaan perintah ini:
- dari rumah sepanjang tempoh perintah PKPD dikuatkuasakan;
- pelawat tidak dibenarkan masuk ke kawasan tersebut sepanjang tempoh perintah PKPD dikuatkuasakan; dan
- semua laluan keluar masuk kawasan PKPD ditutup.
Bagi kawasan-kawasan lain, orang ramai dinasihatkan untuk kekal berada di rumah sepanjang masa. Sekiranya terpaksa keluar atas urusan penting, patuhilah Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan dan lindungilah diri seperti yang sering dinasihatkan oleh KKM. Tempoh masa dua (2) minggu ini adalah amat kritikal bagi memutuskan rantaian jangkitan COVID-19 di Malaysia dan ianya perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh semua lapisan masyarakat.
Semoga dengan segala usaha yang dijalankan dapat melandaikan keluk pandemik COVID-19 di negara kita dan memastikan kelestarian sistem penjagaan kesihatan yang baik di Malaysia.
Rujuk : KPKESIHATAN.COM