COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

PENINGKATAN KADAR KEMATIAN COVID-19 DI MALAYSIA: APAKAH PUNCANYA?

Sehingga kini, dunia masih bergelut memerangi pandemik COVID-19. Pelbagai usaha dilaksanakan di peringkat global mahupun Malaysia untuk memenangi peperangan ini. Kerjasama yang diberikan oleh seluruh rakyat Malaysia dalam mematuhi SOP dan juga pengorbanan besar petugas barisan hadapan yang sanggup berdepan dengan kes jangkitan COVID-19 serta petugas belakang tabir (backliners) adalah dihargai.

Setakat 30 Mei 2021, dunia mencatatkan jumlah kumulatif kes positif mencecah hampir 171 juta dengan kadar sembuh sebanyak 90%. Di Malaysia pula, jumlah kumulatif kes positif mencecah 565,533 kes dengan kadar sembuh sebanyak 86%. Bagi kadar kematian keseluruhan dunia adalah 2.1% manakala kadar kematian di Malaysia sehingga 30 Mei 2021 adalah 0.48%.

childdeath1

Peningkatan drastik kes COVID-19 di Malaysia jelas dilihat iaitu dari 67,169 kes pada 1 Disember 2020 kepada 565,533 kumulatif kes iaitu peningkatan sebanyak 88%. Jumlah kematian yang disebabkan COVID-19 turut meningkat sebanyak 2,729 berbanding 363 kematian pada 1 Disember 2020.

Jika dilihat perbandingan berdasarkan data antarabangsa misalnya melalui Worldometer.info, kematian COVID-19 bagi setiap 1 juta penduduk di dunia adalah 456.3, di Amerika Syarikat (1,832), United Kingdom (1,873), Indonesia (183) dan Filipina (188). Manakala, kematian di Malaysia pula adalah 83 kematian bagi setiap 1 juta penduduk berbanding kadar kematian pada November 2020 iaitu 9 bagi 1 juta penduduk.

Kebelakangan ini, data klinikal menunjukkan beberapa faktor yang menyumbangkan kepada peningkatan kadar kematian di Malaysia iaitu:

  • Lebih ramai pesakit kategori 3,4 atau 5 ketika mula mendapatkan rawatan di hospital dan telah mempunyai komplikasi akibat jangkitan COVID-19 berbanding pada awal pandemik.
  • Jangkitan virus yang lebih agresif dan kurang menunjukkan respon terhadap rawatan berbanding pada awal pandemik.
  • Keadaan ‘happy hypoxia’ di mana pesakit tidak menunjukkan sebarang gejala dan tidak menyedari bahawa mereka mengalami masalah kekurangan oksigen. Pesakit hanya sedar apabila keadaan kesihatan mereka telah serius dan terjejas teruk dan menyebabkan kelewatan dalam mendapatkan rawatan awal dan seterusnya meningkatkan kes kematian.
  • Fenomena kelesuan pandemik (pandemic fatigue) menyebabkan masyarakat didapati mulai lalai dalam mematuhi SOP yang ditetapkan.
  • Pembawa COVID-19 yang tidak bergejala dan membawa jangkitan kepada golongan berisiko dan rentan di kalangan ahli keluarga mereka.
  • Individu yang bergejala, namun tidak hadir untuk menjalani ujian saringan COVID-19, dan pada masa yang sama tidak menjalani kuarantin kendiri.
  • Pesakit yang tidak memaklumkan sejarah kontak rapat dengan pesakit COVID-19 serta sejarah penyakit sedia ada mereka seperti kencing manis, darah tinggi dan sebagainya.

Bagi mengelakkan kejadian yang menyukarkan pengawalan wabak dan rawatan kepada pesakit, masyarakat perlu tampil menjalani ujian saringan apabila bergejala atau mempunyai kontak rapat dengan pesakit COVID-19, berlaku jujur dalam memberi sejarah kontak rapat dan penyakit sedia ada.

Sekiranya didapati positif sama ada melalui ujian RT-PCR atau RTK Antigen, maklumkan kepada KKM melalui notifikasi kendiri (self-notification) di aplikasi MySejahtera atau Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran. Sila bawa bersama keputusan ujian dan hadir ke COVID-19 Assessment Centre (CAC) yang berdekatan di negeri berkenaan untuk penilaian lanjut.
Masyarakat juga disarankan agar mendaftar untuk mendapatkan vaksinasi COVID-19 bagi membantu negara mencapai imuniti kelompok (herd immunity).

KKM sentiasa berusaha bagi mempertingkatkan kadar sembuh dan mengurangkan kadar kematian COVID-19 selain terus meningkatkan tahap penyampaian kesihatan kepada semua pesakit sama ada pesakit COVID-19 atau pesakit bukan COVID-19. KKM akan terus memastikan kesiapsiagaan fasiliti hospital termasuk kelengkapan Unit Rawatan Rapi dan alat bantuan pernafasan (ventilator), Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC), kesiapsiagaan makmal, pengagihan PPE dan konsumabels serta mobilisasi anggota kesihatan turut berada pada tahap yang optimum.

CPRC Perkhidmatan Hospital
Program Perubatan KKM
31 Mei 2021

Rujuk : FB KKM

Next Post Previous Post