Perdana Menteri Ucap Terima Kasih Pada Semua Frontliners
PUTRAJAYA, 1 MAC 2021 – YAB Perdana Menteri, Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin mengucapkan terima kasih kepada semua frontliners yang bertungkus lumus siang dan malam dalam menghadapi pandemik COVID-19 sejak setahun yang lalu.
YAB Perdana Menteri juga turut mengucapkan tahniah kepada Kementerian Kesihatan kerana pencapaian sistem kesihatan yang efektif dalam merawat pesakit COVID-19. YAB Perdana Menteri berkata demikian dalam Amanat Perdana Setahun Malaysia Prihatin di Putrajaya International Convention Centre, PICC, Putrajaya pada pagi ini.
“Saya ingin mengambil kesempatan sekali merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada all the frontliners, ramai sangat saya tidak boleh sebut satu persatu yang telah bekerja bertungkus lumus siang dan malam, melindungi dan menyelamatkan kita semua daripada wabak COVID-19 sejak setahun yang lalu.
Sebagai tanda sokongan kepada mereka, saya ingin mengajak anda semua supaya mendaftarkan diri di aplikasi MySejahtera untuk mengambil vaksin COVID-19 sebagai usaha kita bersama dalam memerangi wabak ini” ucap YAB Tan Sri Dato' Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin, Perdana Menteri.
“Alhamdulillah dengan sokongan frontliners, penjawat awam, pasukan keselamatan, sektor swasta dan masyarakat umum langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan telah membuahkan hasil yang positif.
Kita telah berhadapan dengan tiga gelombang COVID-19 setakat ini, kita telah berjaya melandaikan lekuk jangkitan gelombang pertama, membendung gelombang kedua dan pada masa ini kes-kes harian dalam gelombang ketiga COVID-19 sedang menunjukkan trend penurunan”.
“Selain itu, sistem kesihatan di negara kita, bukan sahaja mampu untuk terus bertahan, malah semakin efektif dalam merawat pesakit COVID-19. Kadar kematian akibat COVID-19 di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia, iaitu di bawah 0.4% dan lebih 90% daripada yang dijangkiti telah pun pulih sepenuhnya, Alhamdulillah.
Kementerian Kesihatan Malaysia, KKM juga telah bersiap sedia untuk memastikan sekurang-kurangnya 126,000 orang individu diberikan suntikan vaksin COVID-19 setiap hari di 600 lokasi vaksinasi di seluruh negara. Tahniah kepada Kementerian Kesihatan Malaysia” ujar YAB Perdana Menteri dalam Amanat Perdana tersebut.
Turut hadir mewakili Kementerian Kesihatan dalam Amanat Perdana tersebut adalah YB Menteri Kesihatan, Dato’ Sri Dr Adham Baba, Timbalan Menteri Kesihatan 1, Dato’ Dr Haji Noor Azmi Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan 2, Timbalan Menteri Kesihatan 2, Datuk Aaron Ago Dagang dan Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan, Dato’ Mohd Shafiq bin Abdullah. Pegawai-pegawai kanan Kementerian Kesihatan turut sama hadir mendengar Amanat Perdana tersebut secara langsung di Bilik Gerakan Tingkat 4, Bangunan E7, Kementerian Kesihatan.

Rujuk : FB KKM