COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Beberapa Negeri Mula Pendaftaran Bersemuka Program Imunisasi

KUALA LUMPUR: Pendaftaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan secara bersemuka di fasiliti Kementerian Kesihatan (KKM), sudah mula dilaksanakan di beberapa negeri.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, berkata ia membabitkan kawasan yang tiada akses kepada aplikasi MySejahtera atas sebab tertentu, namun lokasinya belum boleh didedahkan buat masa ini.

Beliau berkata, proses terbabit di fasiliti KKM akan diseragamkan dengan petugas kesihatan membantu mendaftarkan orang ramai terus ke sistem secara dalam talian.
"Pendaftaran di fasiliti KKM telah mula dilaksanakan di sesetengah negeri secara manual.

"Kita buka kepada mereka yang tidak dapat menggunakan aplikasi MySejahtera atas sebab tidak dapat dielakkan. Pendaftaran akan dipertingkatkan secara berterusan.
"Pendaftaran melalui hotline 1800-888-828 juga sudah dimulakan sejak Jumaat lalu, dengan waktu operasi dari Isnin hingga Sabtu, bermula jam 7 pagi hingga 11 malam," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau sekali gus memaklumkan, seramai 3,224,641 individu sudah mendaftar dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan melalui aplikasi MySejahtera, setakat jam 3 petang tadi.
Media sebelum ini melaporkan kerajaan menyediakan lima kaedah pendaftaran masing-masing menerusi dalam talian atau secara manual, untuk orang ramai mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

Berdasarkan buku program itu yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), dua kaedah pendaftaran secara dalam talian ialah melalui aplikasi MySejahtera dan laman web khas: www.vaksincovid.gov.my.

Tiga kaedah disediakan bagi pendaftaran secara manual ialah hubungi talian hotline, hadir ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta, serta melalui program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Maklumat janji temu seperti tarikh dan tempat vaksinasi akan dimaklumkan melalui aplikasi MySejahtera, panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS).
Proses vaksinasi bagi mereka yang mendaftar secara dalam talian mahupun manual adalah sama dengan meliputi 18 langkah.

Sumber : Berita Harian

Rujuk : FB YB Menteri Kesihatan KKM

Next Post Previous Post