Lawatan Kerja KPK KKM ke PKRC Stadium Tertutup Pasir Gudang
Pada pagi ini, saya berkesempatan untuk melakukan lawatan kerja rasmi ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Stadium Tertutup Pasir Gudang.
PKRC Stadium Tertutup Pasir Gudang ini dibangunkan dengan kerjasama erat di antara Kementerian Kesihatan Malaysia dengan Kerajaan Negeri Johor dan agensi-agensi Kerajaan yang lain di antaranya NADMA, ATM, PDRM, JKR, Tenaga Nasional, Telekom Malaysia, Ranhill Syarikat Air Johor, APM, RELA, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Penerangan. Selain daripada itu, PKRC ini juga menerima sumbangan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) seperti keperluan peribadi pesakit serta PPE untuk petugas-petugas di sini.
PKRC Stadium Tertutup Pasir Gudang ini adalah PKRC yang pertama dibuka di Johor dan secara rasminya beroperasi pada 10 Februari 2021. Ianya mampu menampung sehingga 1200 orang pesakit positif COVID-19 kategori 1 dan 2 (tidak bergejala dan bergejala ringan) pada satu-satu masa. Pada masa ini, PKRC ini hanya menerima pesakit warganegara Malaysia berumur 12 sehingga 60 tahun dan kes-kes yang dirujuk daripada beberapa buah COVID-19 Assessment Centre (CAC) yang beroperasi di Pasir Gudang, Bukit Indah, Kota Tinggi, Pulai dan lain-lain.
Sehingga 8 Mac 2021, seramai 886 orang pesakit telah dirawat di PKRC Stadium Tertutup Pasir Gudang, manakala 14 orang pesakit (1.3%) telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut. Fasiliti ini dilengkapi dengan tempat letak kereta pesakit yang selamat, pendingin hawa 24 jam, mesin penapis air dan lain-lain kemudahan untuk keselesaan pesakit. Pesakit juga boleh terlibat di dalam pelbagai aktiviti kerohanian, kaunseling dan riadah sepanjang berada dalam tempoh kuarantin di sini.
Bagi pihak KKM, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Johor dan semua pihak yang terlibat dalam pengoperasian PKRC Stadium Tertutup Pasir Gudang ini. Semoga segala usaha kita memerangi virus ini akan membuahkan hasil dan melandaikan keluk pandemik COVID-19 di Malaysia.
Rujuk : FB Ketua Pengarah Kesihatan KKM