Kes COVID-19 Varian UK B.1.1.7 atau 20202/01 Mutasi Spike Protein Pertama dikesan di Malaysia
11 Januari 2021 -- Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa satu kes COVID-19 varian UK B.1.1.7 atau 20202/01 mutasi spike protein telah dikesan di Malaysia pada hari ini. Kes tersebut telah dilaporkan dari seorang pengembara warganegara yang mempunyai sejarah perjalanan ke United Kingdom pada bulan Disember 2020. Pengembara tersebut didapati positif pada 28 Disember 2020 lepas dan telah diasingkan untuk rawatan lanjut.
Sejak Oktober 2020, KKM telah melakukan pemantauan terhadap kesemua pengembara dari negara-negara yang telah melaporkan kes mutasi varian UK B.1.1.7 ini termasuk United Kingdom, Belanda, Singapura, Turki, Filipina dan India. Sebanyak 968 sampel telah diuji sejak Oktober 2020 dan telah melakukan genome sequencing bagi mengesan jenis mutasi UK B.1.1.7 ini kepada 24 sampel. Setakat 11 Januari 2021, tiada penularan dalam negara telah dikesan berkaitan virus mutasi UK B.1.1.7 tersebut.
KKM melalui Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) dan CPRC Kebangsaan akan sentiasa memantau perkembangan mutasi UK B.1.1.7 ini dan akan memaklumkan dari semasa ke semasa. Walaupun mutasi UK B.1.1.7 ini tidak didapati menyebabkan simptom yang teruk, namun, ia boleh menular dengan mudah dan cepat. Orang ramai dinasihati agar sentiasa mengamalkan kebersihan kendiri dengan kerap membasuh tangan, memakai pelitup muka di tempat awam, dan menjaga penjarakan fizikal setiap masa.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
11 Januari 2021 @ 11.00 malam
Rujuk : Kenyataan Akhbar KPK 11 Januari 2021