Vaksin Pfizer BioNTech - Media Israel beri gambaran salah
Merujuk kepada artikel Sinar Harian, "Lebih 12,400 penerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech masih dijangkiti" pada 22 Januari 2021
Berikut adalah penjelasan yang dibuat oleh Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Kalaiarasu M Peariasamy.
Vaksin Pfizer BioNTech : Media Israel beri gambaran salah
SHAH ALAM - Percanggahan maklumat media tempatan Israel berhubung vaksin Pfizer BioNTech baru-baru ini boleh memberikan gambaran salah kepada orang ramai berhubung keberkesanan vaksin tersebut.
Sebelum ini, media tempatan Israel melaporkan lebih daripada 12,400 orang di negara itu didapati positif Covid-19 selepas diberi vaksin Pfizer BioNTech.
Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Kalaiarasu M Peariasamy berkata, kenyataan itu mudah disalah tafsir oleh orang ramai kerana satu dos vaksin Pfizer BioNtech seperti diketahui hanya memberikan perlindungan separa, manakala dos kedua memberikan perlindungan yang hampir 95 peratus.
Beliau menjelaskan, perlindungan separa bermakna seseorang masih mempunyai peluang 50 peratus untuk mendapat Covid-19 sejurus sebelum atau selepas menerima suntikan pertama.
Malah, katanya, data klinikal juga menunjukkan bahawa sistem imun mengambil antara enam hingga lapan minggu untuk menghasilkan antibodi yang cukup terhadap Covid-19.
"Oleh itu, seseorang itu tidak mempunyai imuniti maksima terhadap Covid-19 berikutan dos pertama dan ada kemungkinan seseorang itu boleh dijangkiti virus sama tetapi bergejala rendah.
"Walaupun vaksin mungkin tidak 100 peratus berkesan melawan Covid-19, risiko jangkitan akan terus berkurangan apabila lebih ramai orang dalam komuniti mendapat vaksin," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Rujuk : FB KKM