Tidak Perlu Ragu Keselamatan Vaksin COVID-19
Tidak perlu lagi kita ragu-ragu keselamatan vaksin COVID-19, nasihat pakar
Rakyat Malaysia tidak perlu lagi ragu-ragu tentang keselamatan vaksin COVID-19 yang akan digunakan di negara ini. Ini kerana, pemilihan vaksin dibuat oleh pakar-pakar tempatan selepas meniti semua data dan bukti dari ujian klinikal.
Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR), Dr Kalairasu Peariasamy berkata, pemilihan sesuatu vaksin bukan satu perkara mudah kerana melibatkan nyawa manusia. Justeru, vaksin yang akan diberikan kepada rakyat Malaysia telah melalui proses penilaian ketat dan semakan dari pelbagai aspek.
Malaysia akan menerima bekalan pertama vaksin Pfizer-BioNTech pada akhir Februari ini. NPRA telah membei kelulusan bersyarat untuk tempoh setahun kepada vaksin ini.
Dr Kalairasu berkata, vaksin ini telah melalui ujian klinikal melibatkan lebih 40,000 orang berumur antara 18 hingga 80 tahun dari pelbagai bangsa dan beberapa negara.
Vaksin Pfizer didapati 95% berkesan mengurangkan gejala dan simptom COVID-19.
Mengulas kesan sampingan selepas disuntik vaksin itu, Dr Kalairasu berkata, kesan sampingan itu berlaku hasil tindak balas antibodi dalam badan dan ia hanya sementara dan akan hilang selepas 2-3 hari. Katanya, 10 juta rakyat Amerika Syarikat telah disuntik vaksin tetapi hanya beberapa peratus sahaja mendapat kesan sampingan sementara itu.
"Jadi tidak perlulah kita bimbang atau ragu-ragu untuk terima vaksin," katanya.
Vaksin diperlukan untuk mencegah jangkitan COVID-19 daripada terus merebak dan melindungi kumpulan berisiko tinggi.
Vaksin hanya berkesan jika lebih ramai mengambilnya untuk membentuk imuniti berkelompok.
Tonton rakaman penuh temubual Dr Kalairasu bersama Astro AWANI
Rujuk : FB KKM