Kerajaan Jepun Sumbang Peralatan Perubatan Bernilai RM19 Juta
Putrajaya, 22 Januari 2021 -- Menteri Kesihatan, YB Dato' Sri Dr Adham Baba telah menyempurnakan Sesi Menandatangani Pertukaran Nota antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Jepun secara maya di pejabatnya di sini pada hari ini.
Dalam sesi secara virtual berkenaan, Kerajaan Jepun telah diwakili oleh Tuan Yang Terutama Oka Hiroshi, Duta Jepun di Malaysia manakala Dato’ Sri Dr Adham mewakili bagi pihak Kerajaan Malaysia.
Sesi ini membuktikan hubungan rapat dua hala yang sedia terjalin antara Kerajaan Malaysia dan Kerajaan Jepun melalui sumbangan peralatan perubatan yang bernilai RM19 juta yang akan dapat membantu Malaysia dalam memperkukuhkan persediaan dan kesiapsiagaan terutama terhadap keupayaan fasiliti kementerian.
Ini akan dapat membantu usaha kementerian dalam menghadapi ancaman dan menyelamatkan nyawa semasa pandemik COVID-19. Sesi majlis berkenaan adalah merupakan Perjanjian antara Malaysia dan Japan International Cooperation System bagi Penerimaan Geran Peralatan Perubatan Sumbangan Kerajaan Jepun.
Turut hadir, Dato’ Dr Haji Noor Azmi Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan 1, Dato’ Seri Chen Chaw Min, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dato’ Dr Norhizan Ismail, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), KKM, Fabian Bigar, Setiausaha Bahagian Dasar dan Hubungan Antarabangsa, KKM, Nakajima Hideto, Kaunselor Ekonomi Kedutaan Jepun dan Miyasaka Tomoyuki, Timbalan Setiausaha, Atase Kesihatan Pekerjaan dan Kebajikan Kedutaan Jepun.
Rujuk : FB KKM