Perdana Menteri Beri Kata-Kata Semangat Buat Frontliners Di MAEPS
MAEPS,19 Januari 2021 - YAB Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Dato' Sri Dr. Adham Bin Baba, Menteri Kesihatan Malaysia, telah mengadakan sesi lawatan kerja Persiapan Naik Taraf Status Pusat Kuarantin & Rawatan COVID-19 Bersepadu MAEPS 2.0, di sini.
Selesai taklimat, Tan Sri Muhyiddin dan tetamu kehormat dibawa melawat kemudahan yang terdapat pada Dewan D2 di MAEPS. Dewan ini mempunyai keupayaan fasiliti yang sama seperti di hospital lain seperti peralatan tekanan darah selain menempatkan 30 katil bagi kategori tiga dan empat. Beliau turut meninjau khemah negative pressure tent untuk transit Unit Rawatan Rapi (ICU) dengan keupayaan 10 katil bersebelahan Dewan B.
“Ini adalah suatu eksesais yang agak luar biasa. Membina sebuah hospital untuk COVID-19 dalam tempoh beberapa hari sahaja tidak pernah berlaku. Jadi saya hendak ucapkan tahniah atas kejayaan saudara-saudari yang sanggup berhempas pulas bekerja siang malam, menjadi frontliners berkorban banyak masa dan tenaga” kata Perdana Menteri dalam taklimat tertutup kepada semua barisan hadapan yang berada di MAEPS.
Dalam lawatan kira-kira sejam pada petang tadi, Perdana Menteri dilihat turut memberikan kata-kata semangat kepada barisan frontliners yang sedang berjuang di MAEPS. Perdana Menteri sempat menyatuni pesakit-pesakit yang berada di Dewan D dan petugas-petugas pelbagai agensi yang berada di MAEPS.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Menteri Besar Selangor, YAB Dato' Seri Amirudin Bin Shari, Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Datuk Dr. Aminuddin Bin Hashim, serta Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Ybhg Dato' Indera Dr. Sha'ari Bin Ngadiman.
Rujuk : FB KKM