COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Pada pagi ini, saya berkesempatan untuk melakukan lawatan kerja rasmi di Klinik Kesihatan Dong, Raub. Fasiliti ini telah beroperasi sejak 1973 dan memberi liputan perkhidmatan kepada 12,000 penduduk di Mukim Dong, Raub. Secara purata, KK Dong menerima kedatangan 100-150 pesakit sehari.

Taklimat ringkas mengenai situasi kesiapsagaan menghadapi COVID-19 dan status COVID-19 Assessment Centre (CAC) di peringkat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang dan peringkat Pejabat Kesihatan Daerah Raub telah masing-masing diberikan oleh YBhg Dato' Dr. Haji Bahari bin Dato' Tok Muda Haji Che Awang Ngah, Pengarah Kesihatan Negeri Pahang dan YBrs Dr Shafizah Ahmad Shafei, Pegawai Kesihatan Daerah Raub. Manakala taklimat kesiapsagaan perkhidmatan hospital telah diberikan oleh YBrs Dr Idilia Isahar, Pengarah Hospital Raub dan taklimat mengenai pengoperasian COVID-19 Assessment Centre (CAC) di KK Dong oleh Dr Jasmin Aqilah Zahari, Pakar Perubatan Keluarga.

Di Pahang, CAC telah ditubuhkan di setiap daerah pada 19 Januari 2021. Bilik Gerakan CAC Negeri berfungsi sebagai pusat penilaian dan penyelarasan kes COVID-19 Kategori 1 & 2 (tidak bergejala dan bergejala ringan) di peringkat negeri, manakala CAC Daerah melaksanakannya di peringkat daerah. Semua kes positif COVID-19 Kategori 1 & 2 akan dilakukan strafikasi risiko, penilaian klinikal (secara bersemuka) dan penilaian kesesuaian rumah untuk kes menjalani pengasingan sebelum layak dipertimbangkan untuk perawatan dan pengasingan di rumah.

Terdapat juga 69 buah CAC Mobile Team yang mana pasukan kesihatan dari klinik akan melakukan lawatan pemantauan ke rumah terutamanya pesakit yang tinggal di kawasan pedalaman.

Sehingga 29 Januari 2021, bilangan kes COVID-19 Kategori 1 & 2 di seluruh negeri Pahang yang layak menjalani pemantauan di rumah melalui penilaian CAC adalah sebanyak 157 kes (jumlah kumulatif) dengan 100 kes masih aktif.

Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua petugas barisan hadapan dan belakang tabir di mana sahaja anda berada. Perjalanan kita masih belum kelihatan penghujungnya. Kuatkan semangat dan pasangkan niat untuk ikhlas berkhidmat demi negara.

Rujuk : FB Ketua Pengarah Kesihatan KKM

Next Post Previous Post