COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

KKM sekali lagi laksanakan latihan dry run di Hospital Bintulu, Sarawak

Bintulu, 30 Januari 2021- Susulan, latihan dan percubaan sebelum situasi penerimaan dan penghantaran vaksin COVID-19 telah dilaksanakan di Klinik Kesihatan Belaga semalam, hari ini diadakan pula di Hospital Bintulu.

YB Datuk Aaron Ago Dagang, Timbalan Menteri Kesihatan II, hari ini telah turun padang ke Hospital Bintulu bagi meninjau latihan percubaan dry run penghantaran vaksin COVID-19.
Menteri Kesihatan, YB Dato’ Sri Dr Adham Baba, berkata latihan percubaan itu adalah sebahagian langkah persediaan rapi sebelum vaksin COVID-19 sebenar diterima oleh KKM untuk digunakan di kemudahan-kemudahan vaksinasi di seluruh Malaysia.

Vaksin keluaran syarikat Pzifer memerlukan penyimpanan pada suhu ultra -75°C (+/15°C) yang memberi cabaran dalam proses pengedaran vaksin tersebut.
Dr Adham berkata, aktiviti dry run ini juga bertujuan bagi melihat dan memastikan pengekalan suhu ultra sejuk -75°C (+/-15°C) adalah terjamin sepanjang tempoh penghantaran dari pengilang ke destinasi luar bandar.

Selain itu, katanya, aktiviti ini akan menilai kebolehlaksanaan proses-proses yang terlibat dalam pengendalian vaksin COVID-19 dan menguji pelaksanaan Garis Panduan Pengendalian Vaksin COVID-19 yang telah dibangunkan di lapangan agar pengedaran sebenar ke seluruh Malaysia kelak akan berjalan lancar. Pasukan aktiviti Dry Run ini diketuai oleh Datin Shantini Thevendran, Ketua Sektor Farmasi Kesihatan Awam, KKM.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 antaranya melalui perolehan bekalan vaksin yang berkualiti, selamat dan berkesan.

Menurut Dr Adham, kelancaran kedua-dua latihan percubaan di Klinik Kesihatan Belaga, semalam dan Hospital Bintulu, hari ini amat penting dalam memastikan pelan imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjalan dengan lancar di seluruh negara selepas ini.

Turut hadir di Hospital Belaga ialah Tuan Jack Aman Luat, Residen Bahagian Bintulu, Dr Rosemawati Ariffin, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Kesihatan Awam), JKN Sarawak, Encik Abu Hassan Alashaari Abd Jabar, TPK Negeri (Farmasi), JKN Sarawak, Encik Paul Suzin ak Riget, TPK Negeri (Pengurusan), JKN Sarawak dan Dr Davis Johnraj, Pengarah Hospital Bintulu.

Rujuk : FB KKM

Previous Post