COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Aktiviti Dry Run Penghantaran VAKSIN COVID-19 Ke Klinik Kesihatan Belaga Sarawak

KENYATAAN AKHBAR KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA
AKTIVITI DRY RUN PENGHANTARAN VAKSIN COVID-19 KE KLINIK KESIHATAN BELAGA, SARAWAK

Bagi menjamin akses kepada bekalan vaksin COVID-19, Kerajaan Malaysia telah menandatangani perjanjian awal bersama COVAX Facility dan juga syarikat Pfizer. Pada masa yang sama, rundingan bersama beberapa pembekal vaksin COVID-19 yang lain juga sedang dijalankan bagi mendapatkan bekalan vaksin meliputi 80 peratus rakyat Malaysia.

Pada 8 Januari 2021, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), telah memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk vaksin COVID-19 keluaran syarikat Pfizer, COMIRNATY dan Malaysia dijangka akan menerima bekalan vaksin tersebut untuk fasa pertama bekalan pada penghujung Februari ini. Sebagai mana yang diketahui umum, vaksin COMIRNATY memerlukan penyimpanan pada suhu ultra sejuk, -75°C (+/-15°C) yang memberi cabaran dalam proses pengedaran vaksin tersebut.

Sehubungan dengan itu, aktiviti dry run penghantaran vaksin ini ke Klinik Kesihatan Belaga, Sarawak telah dijalankan pada 29 Januari 2021. Ia adalah sebagai latihan bagi memastikan persiapan yang rapi dibuat sebelum bekalan sebenar vaksin dari syarikat Pfizer ini diterima di Malaysia. Pelaksanaan dry run ini adalah usahasama yang dijalankan di antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan syarikat Pfizer (M) Sdn. Bhd.

Objektif utama aktiviti dry run ini diadakan adalah untuk menilai keupayaan pengekalan suhu -75°C (+/-15°C) vaksin COMIRNATY sepanjang rantaian penghantaran, iaitu dari pihak pengilang sehingga ke fasiliti yang dipilih. Selain itu, aktiviti ini akan menilai kebolehlaksanaan proses-proses yang terlibat dalam pengendalian vaksin COVID-19 dan menguji pelaksanaan Garis Panduan Pengendalian Vaksin COVID-19 yang telah dibangunkan di lapangan agar pengedaran sebenar ke seluruh Malaysia kelak akan berjalan lancar.

Kementerian Kesihatan akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak COVID-19 antaranya melalui perolehan bekalan vaksin yang berkualiti, selamat dan berkesan serta memastikan pelan imunisasi COVID-19 Kebangsaan berjalan dengan lancar.

Dato’ Sri Dr. Adham Bin Baba
Menteri Kesihatan Malaysia
29 Januari 2021

Latihan penghantaran vaksin ke pedalaman Sarawak berjaya

Belaga dipilih sebagai lokasi latihan ini kerana KKM mahu menilai keupayaan pelaksanaan vaksinasi di pedalaman. Klinik Kesihatan Belaga berada sejauh 178 km atau kira-kira empat jam perjalanan dari bandar terdekat iaitu Bintulu (dan kira-kira 778 km dari bandar Kuching) melalui jalan darat.

Rujuk : FB KKM

Next Post Previous Post