COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Kuala Lumpur, 12 Januari 2021 : Pharmaniaga telah menandatangani perjanjian dengan Sinovac Life Sciences Co Ltd (Sinovac), syarikat dari China yang membangunkan vaksin COVID-19, untuk pembekalan 14 juta dos vaksin COVID-19 secara pukal bagi menjalankan proses pembotolan di Malaysia.
Pharmaniaga Bhd akan memulakan proses pembotolan vaksin COVID-19 pada akhir bulan depan dan mengedarkannya kepada orang ramai pada akhir Mac.
Syarikat farmaseutikal itu menerusi anak syarikat milik penuhnya, Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS), akan melabur kira-kira RM3 juta bagi menaiktaraf kilang suntikan volum kecil (SVI) bagi membolehkannya menjalankan proses pembotolan atau 'fill and finish' vaksin COVID-19.
Projek pembotolan itu akan dilaksanakan oleh PLS di kilang SVI berteknologi tinggi yang diubah suai.
Bagi mencapai tujuan berkenaan, Pharmaniaga bekerjasama dengan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), untuk memastikan kilang terbabit akan sentiasa mematuhi syarat kawal selia yang ditetapkan.
Majlis menandatangani perjanjian itu telah dilangsungkan secara maya dan turut disaksikan oleh Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba dan Menteri Sains,Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin.
Pengarah Urusan Pharmaniaga, Datuk Zulkarnain Md Eusope, berkata PLS yang mempunyai pensijilan Amalan Pengilangan Baik (GMP) dan mendapat pengiktirafan Kesatuan Eropah (EU) dikenalpasti oleh kerajaan sebagai kilang yang mempunyai keupayaan untuk melaksana dan mematuhi proses pembuatan vaksin sangat ketat selain memenuhi garis panduan serta standard antarabangsa.
Katanya, Pharmaniaga amat yakin akan dapat melaksanakan tugas itu dengan baik kerana pakar teknikalnya telah berusaha untuk membangunkan kilang vaksin halal yang pertama di dunia sejak 2017.
"Pada masa ini kami sedang dalam perbincangan dengan NPRA untuk mendaftarkannya dan dengan sokongan mereka, kami yakin akan dapat memproses serta menyediakan vaksin untuk diedarkan ke hospital-hospital kerajaan pada akhir Mac 2021," katanya.
Zulkarnain berkata, perjanjian dengan Sinovac adalah sesuatu yang amat bersejarah dan akan memberi pulangan yang besar bukan hanya untuk Pharmaniaga, malah kepada rakyat Malaysia.
"Pemindahan teknologi ini akan dapat memperkuatkan lagi rancangan Pharmaniaga membangunkan kilang vaksin halal pertama di dunia pada 2023, yang menyokong aspirasi kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada syarikat asing dalam penyediaan vaksin untuk rakyat," katanya.

Rujuk : FB KKM

Next Post Previous Post