COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

TINJAUAN AMALAN NORMA BAHARU KKM

/ NORMA BAHARU

Untuk makluman, KKM telah menjalankan tinjauan amalan norma baharu secara atas talian daripada 25 hingga 30 November 2020 yang melibatkan 36,841 responden. Objektif tinjauan ini adalah untuk mengenal pasti amalan norma baharu yang diamalkan dalam kalangan komuniti dan mengenal pasti pemerkasaan komuniti dalam menegur ahli keluarga, rakan-rakan dan individu-individu lain untuk mengamalkan norma baharu di Malaysia.

Hasil tinjauan mendapati majoriti responden sentiasa mengamalkan kawalan kendiri bagi pencegahan COVID-19, iaitu memakai pelitup muka (93.3 peratus), menjaga jarak fizikal (89.6 peratus), dan mencuci tangan dengan air serta sabun atau hand sanitizer (89.7%).
Hasil tinjauan juga mendapati 93.8 peratus responden berani menegur ahli keluarga untuk memakai pelitup muka; 90.1 peratus responden berani menegur ahli keluarga untuk menjaga jarak fizikal; dan 90.8 peratus responden berani menegur ahli keluarga untuk mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer. Manakala berkaitan dengan teguran kepada rakan-rakan pula, didapati 82.2 peratus responden menyatakan mereka berani menegur rakan-rakan mereka untuk memakai pelitup muka; 79.4 peratus responden berani menegur rakan-rakan untuk menjaga jarak fizikal; dan 79.2 peratus responden berani menegur rakan-rakan untuk mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer.

Walau bagaimanapun, sekiranya teguran tersebut melibatkan orang lain, hanya 57.3 peratus responden berani menegur orang lain untuk memakai pelitup muka; 59.6 peratus responden berani menegur orang lain untuk menjaga jarak fizikal; dan 56.7 peratus responden berani menegur orang lain untuk mencuci tangan dengan air dan sabun atau hand sanitizer.
Hasil tinjauan ini merupakan satu dapatan yang amat positif dan memberangsangkan. Ini menunjukkan masyarakat Malaysia mempunyai kawalan kendiri yang tinggi. Segala perubahan bermula dengan diri sendiri dan ia merupakan langkah pertama dalam segala kejayaan termasuklah kejayaan dalam memerangi pandemik COVID-19. Oleh itu, marilah kita bersama-sama berganding bahu dalam membendung penularan COVID-19.

Rujuk : FB KKM

Next Post Previous Post