LINDUNGILAH ANGGOTA KESIHATAN
28 Disember 2020 - Gelombang ketiga pandemik di Malaysia turut mencatatkan peningkatan bilangan anggota kesihatan yang turut dijangkiti COVID-19. Anggota kesihatan merupakan tulang belakang serta barisan hadapan yang begitu signifikan dalam menghadapi penularan wabak COVID-19. Mereka bekerja memberikan rawatan kepada pesakit di samping mencari rezeki untuk menampung keperluan keluarga dan ada juga anak yang masih kecil yang perlu dilindungi. Tugas mereka memerlukan pengorbanan masa dan tenaga mendahulukan pesakit berbanding diri mereka.
Sekiranya terdapat anggota kesihatan yang dijangkiti COVID-19 atau yang perlu menjalani kuarantin setelah menjadi kontak rapat kepada pesakit COVID-19, akan menyebabkan mereka tidak dapat hadir bertugas dan seterusnya menjejaskan penyampaian perkhidmatan kesihatan. Oleh itu, adalah penting untuk kita turut bantu anggota kesihatan dengan memberi kerjasama yang sebaiknya.
KKM berharap agar setiap pesakit mahupun pengunjung hospital, untuk sentiasa telus dan jujur dalam memberikan maklumat kesihatan mereka dan sentiasa patuh kepada SOP. Ini bertujuan untuk melindungi anggota kesihatan agar dapat terus memberikan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti dan selamat kepada rakyat.
Perjuangan ini merupakan perjuangan semua rakyat Malaysia. Kita masih belum menang, tapi kita boleh menang jika kita melawan pandemik COVID-19 ini bersama-sama. Teruskan mematuhi semua SOP yang ditetapkan.
Datuk Dr. Hj. Rohaizat b. Hj. Yon
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan)
Kementerian Kesihatan Malaysia
Rujuk : FB Program Perubatan KKM