KESIAPSIAGAAN KKM BAGI PERKHIDMATAN MAKMAL DALAM MENANGANI COVID-19 KHUSUSNYA DI SABAH
02/12/2020
Penyediaan makmal yang lengkap dan efisyen merupakan komponen yang sangat penting bagi negara untuk berjuang dalam memutuskan rantaian COVID-19. Di Malaysia, kaedah saring dan asing merupakan langkah yang berkesan untuk digunakan bagi menghalang penularan pandemik ini. Jadi, perkhidmatan makmal adalah penting untuk menjalankan ujian saringan COVID-19 secara berterusan. KKM cakna dan prihatin akan keperluan untuk menyediakan fasiliti makmal yang efisyen di seluruh negara.
Sehingga kini, terdapat 62 makmal yang menjalankan ujian COVID-19 dengan kapasiti ujian sebanyak 59,485 sehari di seluruh negara, berbanding 11,546 ujian sehari di 12 makmal pada awal bulan Mac 2020. Peningkatan kapasiti sebanyak 80% ini adalah hasil kerjasama KKM dengan pelbagai pihak termasuk makmal Angkatan Tentera Malaysia, makmal Institut Genom Malaysia, makmal Hospital Universiti, dan makmal swasta.
Terdapat 2 kategori ujian COVID-19 yang utama iaitu untuk mengesan antigen melalui ujian swab dan mengesan antibodi melalui ujian darah. Dua jenis ujian yang mengesan antigen ialah Reverse Transcription Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) dan Rapid Test Kit Antigen (RTK-Ag). Ujian Rapid Test Kit Antibody (RTK-Ab) pula adalah untuk mengesan antibodi.
RT-PCR adalah ujian pengesahan yang digunakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia untuk mengesahkan jangkitan virus COVID-19 pada individu yang disyaki COVID-19.
Manakala RTK-Ag adalah ujian yang mengesan antigen lebih cepat berbanding RT-PCR. RTK-Ag mempunyai tahap sensitiviti 90% dan spesifisiti 100%. Disebabkan itu, RTK-Ag boleh digunakan sebagai kaedah alternatif untuk ujian COVID-19. Walau bagaimanapun, RTK-Ag hanya diguna pakai di Malaysia untuk ujian pengesanan COVID-19 sahaja manakala RT-PCR untuk ujian pengesahan.
RTK-Ab adalah ujian untuk mengesan antibodi COVID-19 dalam badan seseorang individu. Ia sesuai diambil pada hari ke-13 oleh individu yang dikuarantin kerana pada masa ini sistem imun dalam badan seseorang itu akan menghasilkan antibodi apabila terdedah kepada virus. Walaupun ujian RTK-Ab tidak digunakan untuk pengesanan awal virus COVID-19 tetapi digunakan untuk tujuan survelan dan penyelidikan.
Berikutan gelombang ketiga yang melibatkan peningkatan kes di Sabah, Kerajaan telah menambah jumlah makmal di Sabah kepada 4 makmal iaitu makmal Hospital Queen Elizabeth, makmal Kesihatan Awam Kota Kinabalu, makmal Universiti Malaysia Sabah dan makmal Klinik Kesihatan Tawau Kubota berbanding hanya 1 makmal pada awal Mac 2020.
Tambahan itu, bagi meningkatkan lagi keupayaan ujian COVID-19 di Sabah, sampel-sampel juga dihantar secara harian ke Semenanjung Malaysia melalui perkhidmatan Tentera Udara Diraja Malaysia dan Poslaju. Setakat 27 November 2020, sejumlah 55,607 sampel ujian telah dihantar ke Semenanjung Malaysia melalui perkhidmatan ini. Selain itu, KKM turut membuat penyumberan luar (outsourcing) sampel ke makmal swasta.
Pada awal Mei 2020, KKM telah menghantar 238,900 kit RTK-Ag untuk meningkatkan kapasiti ujian berikutan lonjakan kes COVID-19 di Sabah. Sehingga 27 November 2020 pula, sebanyak 341,000 kit RTK-Ag telah dihantar ke Sabah untuk ujian kes COVID-19.
Bagi meningkatkan lagi keupayaan ujian di Sabah, kerajaan turut memperuntukkan untuk menambahbaik kelengkapan makmal sedia ada di Hospital Queen Elizabeth dan pembinaan 1 makmal molekular di Hospital Tawau dan Hospital Lahad Datu. Setakat ini, kerja penambahbaikan makmal di Hospital Queen Elizabeth telah selesai, manakala makmal molekular di Hospital Tawau dan Hospital Lahad Datu adalah masih dalam proses pembinaan yang dijangka siap tidak lama lagi.
Datuk Dr. Hj. Rohaizat b. Hj. Yon
Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan)
Kementerian Kesihatan Malaysia.