COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

PRESTASI RAWATAN PESAKIT COVID-19 DI MALAYSIA (27/11/2020)

/ Rawatan Pesakit COVID-19


(Tarikh kemaskini: 27 November 2020)

Sejak kemunculan pandemik COVID-19, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membangunkan garis panduan berkenaan rawatan COVID-19 yang dikemaskini dari semasa ke semasa berdasarkan saranan badan antarabangsa seperti Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kajian saintifik dan keberkesanan rawatan ke atas pesakit di Malaysia dan di luar negara. Sehingga kini tiada ubat khusus bagi merawat COVID-19. Pesakit COVID-19 akan dirawat berpandukan kategori jangkitan COVID-19, status klinikal pesakit, keputusan ujian makmal dan radiologi serta pelan rawatan pesakit.

Pelan rawatan bagi pesakit COVID-19 di Malaysia adalah berdasarkan 5 tahap atau kategori klinikal pesakit iaitu:

Kategori 1 : Tidak bergejala

Kategori 2 : Bergejala tanpa radang paru-paru

Kategori 3 : Bergejala dengan radang paru-paru

Kategori 4 : Bergejala dengan radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen

Kategori 5 : Pesakit kritikal dengan komplikasi kepada pelbagai organ (multiorgan)

Berdasarkan data global dan pengalaman negara luar menunjukkan kebanyakan pesakit COVID-19 tidak bergejala atau bergejala ringan. Bagi Malaysia, berdasarkan capaian data 24 November 2020, 69% daripada pesakit COVID-19 berada dalam Kategori 1, kategori 2 (18%), Kategori 3 (8%), kategori 4 (3%) dan kategori 5 (2%).

Secara amnya, tiada rawatan khusus bagi pesakit COVID-19 kategori 1. Bagi kategori 2 dan 3, pesakit akan diberikan rawatan simptomatik bagi gejala yang dihadapi seperti pemberian ubat demam dan ubat batuk selsema kepada pesakit yang bergejala demam dan batuk selsema serta penjagaan nutrisi yang optimal dan penjagaan sistem peredaran darah yang seimbang. Pemberian beberapa jenis ubatan yang lebih spesifik seperti anti-viral, immuno-modulatori (untuk meredakan keradangan) dan anti-koagulasi (untuk mengelakkan penyumbatan salur darah) adalah untuk pesakit COVID-19 yang lebih kritikal seperti kategori 4 dan 5.

Di Malaysia, semua pesakit yang disahkan positif COVID-19 termasuk yang tidak bergejala akan dirawat di pusat rawatan yang ditetapkan iaitu di hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC). Dengan ini pesakit COVID-19 dapat diasingkan (isolate) daripada komuniti. Langkah ini berkesan untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 daripada merebak lebih luas ke komuniti. Semasa di pusat rawatan, tahap kemajuan kesihatan pesakit COVID-19 akan dipantau secara rapi termasuk pemeriksaan tanda vital, ujian darah dan pengimejan mengikut keperluan pesakit. Antara lain, tindakan ini akan membantu KKM mengenalpasti dan mengesan mana-mana pesakit khususnya kategori 3 untuk diberikan rawatan segera sebelum tahap kesihatan pesakit merosot ke kategori 4 dan 5.

Sehingga 24 November 2020, jumlah terkumpul (kumulatif) pesakit pada kategori 4 dan 5 yang telah menerima rawatan critical care di seluruh Malaysia adalah sebanyak 1,048 orang. Daripada jumlah tersebut, 60% pesakit telah sembuh dan dibenarkan pulang ke rumah, 32% masih menerima rawatan di ICU dan hanya 18% sahaja yang telah meninggal dunia akibat komplikasi COVID-19. Kebanyakan pesakit COVID-19 yang meninggal dunia berusia 50 tahun dan ke atas serta mempunyai komorbiditi atau penyakit lain seperti darah tinggi, kencing manis dan lain-lain.

Tindakan KKM ini telah berjaya meningkatkan kadar sembuh di Malaysia ke 80.8% berbanding kadar sembuh global (69.2%), Itali (43.8%), Amerika Syarikat (59.2%), dan negara Asia misalnya Myanmar (75.9%) dan Laos (61.5%). Malah, kadar kematian di Malaysia adalah 0.57%, jauh lebih rendah berbanding kadar kematian global iaitu sebanyak 2.35%. Data ini adalah berdasarkan data antarabangsa worldometers.info dan coronatracker.com.

KKM sentiasa memastikan agar penyampaian perkhidmatan kesihatan di negara ini terutamanya bagi rawatan COVID-19 berada pada tahap optimum. Buat masa ini, belum ada vaksin khusus untuk COVID-19, tetapi pematuhan terhadap semua SOP adalah merupakan vaksin terbaik untuk memutuskan rantaian COVID-19.

Datuk Dr. Hj. Rohaizat b. Hj. Yon

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan)

Kementerian Kesihatan Malaysia.

Next Post Previous Post