COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Lawatan Kerja Rasmi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) oleh KPK KKM

Rujuk : FB Ketua Pengarah Kesihatan KKM
29 November 2020

Pada pagi ini saya telah melakukan lawatan kerja rasmi ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Rehabilitasi Cheras (HRC) bagi meninjau kesiapsagaan hospital susulan daripada peningkatan kes COVID-19 yang mendadak semasa gelombang ketiga khususnya di sekitar kawasan Lembah Klang.

Turut hadir sama lawatan di HKL ialah YBhg Datuk Dr Hj Rohaizat Hj Yon, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan), YBhg Dato’ Dr Norhizan Ismail, Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan dan YBhg Datuk Dr Heric Corray, Pengarah Hospital Kuala Lumpur. Manakala lawatan di HRC, ianya turut disertai YBrs Dr. Param Jeeth Singh a/l Pakar Singh, Pengarah Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, serta Dr Jasmeet Singh a/l Sucha Singh, Pengarah HRC.

KKM telah membuat perancangan strategik bagi meningkatkan jumlah katil yang dikhususkan bagi pesakit COVID-19 di lima (5) buah fasiliti di Lembah Klang iaitu HKL, Hospital Sungai Buloh, HRC, Pusat Kawalan Kusta Negara dan Institut Latihan KKM Sungai Buloh. Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM) juga bersedia untuk membantu jika keadaan memerlukan. Bagi memastikan kelancaran operasi, kesemua fasiliti ini diletakkan di bawah Pusat Kawalan Bersepadu COVID-19 (PKBC) Wilayah Tengah (Central Region COVID-19 Unified Command Centre) dengan tujuan menyelaras dan memantau segala operasi berkaitan pengurusan pesakit COVID-19 di wilayah tengah.

Khusus bagi HKL dan HRC, sehingga 29 November 2020 jam 6 pagi, jumlah katil yang dikhususkan bagi pesakit COVID-19 adalah berjumlah 1061 buah katil iaitu sebanyak 433 katil di blok Maternity HKL, 398 katil di bangunan utama HKL dan 230 katil di HRC. Kedua-dua hospital ini telah dikenalpasti sebagai hospital hybrid, iaitu merawat pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19.

Bagi menjayakan operasi PKBC ini, KKM bekerjasama erat dengan pelbagai agensi iaitu Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua petugas di barisan hadapan dan belakang tabir yang sentiasa bersedia berkhidmat untuk negara.

TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH

KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA

Next Post Previous Post