Lawatan Kerja di kawasan PKPD di Jalan Teratai, Klang oleh Ketua Pengarah Kesihatan KKM
Pada pagi ini, saya berpeluang untuk mengadakan lawatan kerja di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di kawasan Jalan Teratai, Klang. Antara yang turut hadir adalah Pengarah Kesihatan Negeri Selangor, Dato’ Indera Dr Sha’ari Ngadiman, Panglima 11 Briged YBhg. Jeneral Norsham Md Tap, Pengarah Keselamatan Negeri Selangor YBrs. Puan Faizatul Aini Mohd Adnan, Pegawai Daerah Klang YBrs. Tuan Haji Mohd Zainal bin Mohd Nor, Ketua Polis Daerah Klang Utara YBrs. Puan Nurul Huda dan Pengarah Kawalan Penyakit Datuk Dr Norhayati Rusli.
Taklimat pagi ini dimulakan oleh Pegawai Kesihatan Daerah (PKD) Klang, Dr Masitah Mohamed yang menerangkan perkembangan terkini pengurusan PKPD ini. Kawasan PKPD di Jalan Teratai ini terbahagi kepada dua sektor iaitu Sektor A dan Sektor B di mana setiap sektor menempatkan asrama lelaki dan wanita.
Pengurusan Kesihatan diberikan oleh anggota kesihatan dari PKD Klang dan Klinik Kesihatan Meru, anggota kesihatan bantuan dari daerah luar serta sukarelawan dari badan bukan kerajaan (NGO). Aktiviti pengurusan kesihatan meliputi saringan COVID-19 (swab test), kesiapsiagaan perubatan, pengurusan pemberian arahan Home Surveillance Order (HSO), pengurusan kemasukan kes positif ke hospital dan pengurusan data.
Alhamdulillah, saya sempat bertukar pendapat dengan pihak pengurusan operasi yang terlibat dan mendengar isu-isu yang berbangkit agar operasi PKPD ni berjaya dalam membendung penularan ke dalam komuniti.
Berkesempatan ini juga, saya ingin merakamkan terima kasih kepada semua agensi terlibat terutamanya Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Kesihatan Negeri, Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, PDTK, Majlis Bandaraya Klang, JBPM, APM, JKM, RELA, Pejabat Penerangan dan NGO-NGO yang turut serta dalam menjayakan aktiviti PKPD ini.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA