COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

MAJLIS PELANCARAN PROGRAM IMUNISASI COVID-19 KEBANGSAAN KANAK-KANAK (PICKids) 5 HINGGA BAWAH 12 TAHUN

KUALA LUMPUR, 3 FEBRUARI 2022 - YB Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin telah melancarkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) untuk kanak-kanak berumur 5 hingga bawah 12 tahun di Auditorium Hospital Tunku Azizah, hari ini.

Dianggarkan terdapat sejumlah 4 juta kanak-kanak dalam lingkungan umur 5 hingga bawah 12 tahun akan menerima Vaksin mRNA iaitu Comirnaty®️ 10mcg Concentrate for Dispersion (PfizerBioNTech). Dos vaksin tersebut adalah sepertiga (1/3) daripada dos dewasa.

Sebanyak 0.2 ml vaksin akan diberikan di lengan kiri atau kanan; atau di peha bahagian anterolateral. 2 dos diperlukan untuk melengkapkan imunisasi dengan sela masa antara dos pertama dengan dos kedua ialah 8 minggu.

Sebagai makluman vaksin COVID-19 diberikan untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19; Long COVID-19; komplikasi seperti Multisystem Inflammation Syndrome in Children (MIS-C); dan kematian. Tarikh janji temu pemberian vaksin akan diberi kepada ibu bapa atau penjaga melalui Mysejahtera.

Ibu bapa atau penjaga yang tinggal di Lembah Klang akan menerima pautan untuk membuat tempahan janji temu vaksinasi secara berperingkat bermula 1 Februari 2022.

Hadir sama, YB Dato’ Dr. Haji Noor Azmi bin Ghazali, Timbalan Menteri Kesihatan I, YBhg Dato’ Sri Mohd Shafiq bin Abdullah Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia, YBhg Dato’ Dr. Chong Chee Kheong,Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), YBhg Datin Paduka Dr. Rohana Binti Johan, Pengarah Hospital Kuala Lumpur, YBhg Datuk Dr. Hishamshah Bin Mohd Ibrahim, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal), YBhg. Dato’ Dr. Mohd Fikri bin Ujang, Pengarah Perkembangan Perubatan Mewakili Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) serta Pegawai–Pegawai Kanan Kementerian dan Jabatan.

Next Post Previous Post