COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

STATUS TERKINI KLUSTER TERATAI (01/12/2020)

/ Kluster TERATAI (SELANGOR)

Secara keseluruhan dalam tempoh seminggu yang lepas, negeri-negeri di seluruh Malaysia telah menunjukkan jumlah pelaporan kes harian yang lebih stabil. Sebahagian besar daripada kes-kes yang dilaporkan kebelakangan ini adalah berpunca dari tapak binaan dan kilang. Angka yang tinggi ini adalah susulan perluasan pengesanan kes secara aktif dan pengesanan kontak rapat yang dijalankan di lapangan.Kluster Teratai sahaja pada hari ini telah melaporkan sebanyak 778 kes (52.9 peratus) daripada keseluruhan jumlah kes harian untuk negara dan menyumbang kepada 87.3 peratus daripada kes harian yang dilaporkan di negeri Selangor (891 kes).

Sejak diumumkan pada 7 November 2020, sejumlah 6,603 individu telah disaring bagi Kluster Teratai. Daripada jumlah ini, sebanyak 5,056 kes telah dikesan positif COVID-19 yang melibatkan 331 (6.5 peratus) warganegara dan 4,725 (93.5 peratus) kes adalah bukan warganegara. Sebanyak 1,501 individu dikesan negatif manakala 46 individu masih menunggu keputusan. Kesemua kes-kes positif ini telah diasingkan.

Oleh itu, KKM menyambut baik pengumuman oleh YB Menteri Kanan Pertahanan bagi melanjutkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja kilang berkenaan bermula dari 1 Disember 2020 sehingga 14 Disember 2020. Sehingga kini, majikan yang berkenaan telah diarahkan untuk menghentikan segala operasi dan menutup kilang secara berperingkat serta menjalankan saringan kepada semua pekerja mereka. Anggota-anggota kesihatan juga telah digerakkan sejak awal lagi ke kawasan yang terlibat bagi membantu segala aktiviti kawalan dan pencegahan.

Next Post Previous Post