Jangan Membeli dan Menggunakan Kit Ujian Kendiri COVID-19 yang Sudah Tamat Tarikh Luput
Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli dan menggunakan kit ujian kendiri COVID-19 yang sudah tamat tarikh luput. Penggunaan kit ujian yang telah melebihi tarikh luput boleh memberi keputusan ujian yang tidak tepat. Untuk makluman, tiada kelulusan diberikan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) kepada pelanjutan tarikh luput untuk mana-mana kit ujian kendiri COVID-19.
Namun demikian, MDA ada memberikan kelulusan kepada perubahan jangka hayat dan kestabilan peranti perubatan yang telah berdaftar termasuk kit ujian kendiri Covid-19. Jangka hayat ialah tempoh masa sehingga tarikh luput, di mana reagen in vitro dalam pembungkusan asalnya, mengekalkan kestabilannya di bawah keadaan penyimpanan yang ditentukan oleh pembuat.
Oleh yang demikian, perubahan kepada jangka hayat peranti perubatan yang telah mendapat kelulusan MDA boleh dijual dan digunakan dalam pasaran.
🖥 Sebarang keraguan, maklum balas atau aduan orang ramai berkaitan kit ujian kendiri COVID-19 boleh dikemukakan kepada MDA melalui pautan ini: https://femes.mda.gov.my atau hubungi 03-8230 0300 (waktu pejabat).
Dikemaskini : 6 Januari 2024
Baca lanjut: https://www.instagram.com/p/C1vnwKjxWrX/?igsh=NjUyaHZuNTN6N3I3