COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

FASA PERALIHAN KE ENDEMIK

KKM ingin menjelaskan bahawa istilah endemik, epidemik, dan pandemik adalah antara istilah dalam bidang kesihatan awam bagi menggambarkan keseriusan kadar penyebaran sesuatu penyakit, terutamanya penyakit berjangkit. Pandemik adalah kejadian penyakit dengan bilangan kes melebihi kadar biasa yang berlaku di seluruh dunia dan melibatkan populasi yang besar, kebiasaannya disebabkan oleh jangkitan penyakit baharu (novel); contohnya, Pandemik COVID-19, Pandemik Plague (kurun ke-14), Pandemik Influenza-Spanish Flu (1918-1919), dan Influenza H1N1 (2009). Istilah endemik pula merujuk kepada kejadian penyakit yang sentiasa wujud dalam masyarakat atau sesuatu tempat tetapi pada kadar yang stabil; contohnya Demam Denggi di lebih 100 negara termasuk Malaysia.

Pada 1 April 2022, Malaysia memasuki fasa peralihan ke endemik. Hal ini dapat dicapai susulan kejayaan program vaksinasi COVID-19 dan sistem perkhidmatan kesihatan yang berada pada tahap yang terkawal. Pengisytiharan Kawasan Jangkitan Tempatan masih lagi dikuatkuasakan di seluruh Malaysia di bawah Seksyen 11 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] sehingga 30 Jun 2022. Selain daripada penguatkuasaan Akta 342 semasa dalam tempoh fasa peralihan ke endemik ini, langkah-langkah kawalan dan pencegahan jangkitan COVID-19 juga dilaksanakan di bawah peruntukan Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) (Fasa Peralihan Ke Endemik) 2022 [P.U.(A) 83/2022] yang telah diwartakan pada 31 Mac 2022.

Protokol dan arahan pencegahan dan kawalan tersebut diperincikan dalam prosedur operasi standard (SOP) yang dikuatkuasakan mulai 1 April 2022. SOP yang telah dipermudahkan daripada 181 SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) ini disokong oleh sembilan (9) garis panduan yang menjelaskan risiko jangkitan, penilaian risiko, serta tindakan pencegahan yang perlu diambil oleh individu, pengembara, majikan, dan pihak bertanggungjawab ke atas premis yang diperjelaskan di bawah tajuk:

  1. Memakai pelitup muka di tempat awam;
  2. Menguruskan kes yang disyaki atau disahkan mengikut garis panduan KKM;
  3. Menjaga penjarakan fizikal sekiranya boleh;
  4. Memastikan pengudaraan dan sistem ventilasi yang baik;
  5. Menjaga kebersihan tangan;
  6. Memastikan kebersihan premis;
  7. Melakukan ujian pengesanan COVID-1 berdasarkan National Testing Strategy (NTS);
  8. Mematuhi keperluan vaksinasi untuk aktiviti tertentu;
  9. Memastikan waktu operasi mengikut ketetapan lesen atau permit yang dibenarkan; dan
  10. Menggunakan check-in MySejahtera atau MySejahtera Trace untuk membantu pengesanan kontak.

Sebagaimana sedia maklum, kadar kebolehjangkitan varian Omicron adalah lebih tinggi berbanding varian Delta dan kebanyakan pesakit mengalami gejala yang lebih ringan, di mana jumlah kes dengan komplikasi teruk adalah rendah. Keadaan ini disumbangkan oleh tahap imuniti yang tinggi terhadap virus SARS-CoV-2 pada seseorang hasil daripada vaksinasi COVID-19 atau imuniti semulajadi selepas jangkitan COVID-19.

Berbanding dengan gelombang varian Delta yang berlaku dari penghujung Jun 2021 hingga Oktober 2021, gelombang varian Omicron yang bermula dari Januari 2022 hingga kini menunjukkan kadar kematian, kemasukan ke ICU, dan penggunaan alat bantuan pernafasan yang lebih rendah meskipun terdapat peningkatan jumlah pada kes harian (decoupling effect) (Rajah 2).

image-4

Walaupun liputan vaksinasi COVID-19 dalam kalangan individu dewasa di Malaysia telah mencapai lebih 90%, program kawalan penyakit yang mantap melalui intervensi kesihatan awam masih perlu diteruskan untuk mengurangkan risiko jangkitan, morbiditi, dan kematian terutamanya bagi golongan yang berisiko tinggi.

Rujuk : KPKESIHATAN.COM

Next Post