COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

JANGKITAN COVID-19 DALAM KALANGAN WARGA EMAS

Warga emas adalah golongan yang paling terkesan dan berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan COVID-19 dengan komplikasi teruk akibat jangkitan tersebut. Ini adalah kerana daya tahan tubuh yang rendah, penyakit kronik yang dihidapi oleh warga emas, dan proses penyembuhan serta pemulihan daripada jangkitan COVID-19 juga lebih perlahan dan rumit. Kadar kematian warga emas juga lebih tinggi berbanding dengan golongan yang lain.

Dari 19 Mac 2020 hingga 9 Mac 2022, sebanyak 3,711,199 kes COVID-19 telah dilaporkan di Malaysia dengan 367,522 (9.9%) warga emas telah dijangkiti. Sebanyak 19,250 (57.4%) kematian yang dilaporkan adalah dalam kalangan warga emas (Rajah 2).

Berbanding dengan kumpulan umur yang lebih muda (kumpulan umur kurang 60 tahun), jumlah dan kadar kematian dalam kalangan warga emas berumur 60 tahun dan ke atas adalah lebih tinggi (Rajah 3 dan Rajah 4).

image-54
image-55
image-56

KLUSTER COVID-19 DI PUSAT JAGAAN WARGA EMAS

Warga emas yang berada di pusat jagaan juga terdedah dengan risiko jangkitan COVID-19 yang mana jangkitan mungkin menjadi tidak terkawal jika penghuni dan penjaga tidak mengikut SOP. Golongan ini lebih berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan dan kematian akibat COVID-19 berbanding warga emas dalam komuniti. Faktor umur, keadaan mereka yang lebih lemah (frail), dan pelbagai penyakit kronik yang dihidapi menjadikan mereka paling berisiko untuk mendapat penyakit COVID-19 yang teruk dan memerlukan kemasukan ke hospital serta kebergantungan yang tinggi kepada rawatan intensif. Penularan jangkitan COVID-19 dalam pusat jagaan warga emas lebih mudah dan cepat kerana jumlah penghuni yang ramai mengakibatkan kesukaran amalan penjarakan fizikal. Pada tahun 2020, data antarabangsa melaporkan sebanyak 47 peratus kematian adalah dalam kalangan warga emas yang tinggal di institusi berkediaman.

Bermula 25 Januari 2020 sehingga 3 Mac 2022, sebanyak 154 (39.6%) kluster COVID-19 di pusat jagaan warga emas telah dilaporkan. Kluster ini adalah penyumbang tertinggi berbanding kluster-kluster kumpulan berisiko yang lain seperti kluster di pusat jagaan kanak-kanak, pusat dialisis, dan sebagainya (Rajah 5).

image-57

PROGRAM IMUNISASI COVID-19 KEBANGSAAN

Warga emas telah dikenalpasti sebagai kumpulan sasaran utama yang perlu diberi vaksinasi selepas petugas barisan hadapan. Sejak 19 April 2021, warga emas mula ditawarkan vaksinasi COVID-19 bagi melindungi mereka daripada jangkitan teruk COVID-19 termasuk kemasukan ke hospital dan kematian.

Keberkesanan vaksinasi dapat dilihat melalui penurunan kes kematian dalam kalangan warga emas yang telah lengkap divaksinasi dos primer dan dos penggalak pada tahun 2021 berbanding 2020 (Rajah 6).

Sehingga 9 Mac 2022, sebanyak 3,355,784 (91.9 peratus) warga emas telah menerima dos primer vaksin COVID-19 yang lengkap. Selepas dos penggalak diperkenalkan pada 16 Oktober 2021, sebanyak 2,472,576 (73.6 peratus) warga emas telah mengambil dos penggalak vaksin COVID-19 (Rajah 7).

image-58
image-59

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Fasa 2 yang bermula sejak 19 April 2021 turut melibatkan warga emas yang berada di institusi/ pusat jagaan warga emas, di mana mereka adalah golongan yang berisiko tinggi dan sebahagian mereka tidak mempunyai keupayaan fizikal mahupun mental. Bagi memastikan PICK kepada golongan warga emas dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan berkesan, ia dibuat melalui kaedah berikut:

  1. Temujanji MySejahtera di Pusat Pemberian Vaksin (PPV), Klinik Kesihatan (KK), Hospital, dan Klinik Swasta (Protect Health); dan
  2. Pasukan bergerak Pejabat Kesihatan Daerah ke institusi/ pusat jagaan warga emas yang berdaftar mahupun tidak berdaftar. Melalui inisiatif public-private partnership, bagi memudahcara dan meningkatkan kadar pemberian vaksin di institusi jagaan warga emas, KKM juga berkolaborasi dengan badan Bukan Kerajaan dan Sukarelawan Perubatan seperti Pertubuhan Bulan Sabit Merah, Mercy, St John Ambulance, dan National Cancer Society Malaysia (NCSM) dalam program vaksinasi ini.

Sehingga 10 Mac 2022, sebanyak 1,023 institusi/ pusat jagaan warga emas berdaftar dan tidak berdaftar telah dilawati di mana seramai 19,646 penghuni dan 10,173 penjaga telah lengkap 2 dos vaksinasi COVID-19 (100 peratus). Seramai 11,002 penghuni dan 4,141 penjaga di pusat jagaan warga emas telah menerima dos penggalak (50.8%). Maklumat lanjut berkaitan pusat jagaan warga emas yang telah menerima lengkap vaksinasi termasuk dos penggalak adalah seperti di Jadual 5 dan Jadual 6.

image-60
image-61

Daripada beberapa rajah dan jadual di atas, dapat disimpulkan bahawa:

  • Kadar kematian warga emas adalah lebih tinggi berbanding kumpulan umur yang lain;
  • Kumpulan warga emas yang tidak divaksinasi adalah paling berisiko untuk dijangkiti COVID-19 dan mengakibatkan kematian;
  • Warga emas yang telah menerima vaksin COVID-19 dos penggalak adalah paling terlindung, di mana dapat dilihat jumlah kes dijangkiti COVID-19 dan juga kematian akibat COVID-19 yang lebih rendah dalam kalangan penerima dos penggalak berbanding kumpulan yang tidak divaksinasi dan kumpulan lengkap divaksinasi tetapi tidak lengkap dos penggalak; dan
  • Vaksin dos penggalak dapat memberi perlindungan yang terbaik daripada kematian dan gejala serius COVID-19.

Oleh itu KKM ingin menyeru semua warga emas yang berkelayakan namun belum menerima vaksin sama ada dos primer atau dos penggalak untuk segera mendapatkannya dari pusat pemberian vaksin (PPV) yang terdekat secara walk-in. Lindungi diri dan orang tersayang. Dapatkan dos penggalak. Vaksin tidak menjadikan seseorang kebal terhadap jangkitan COVID-19, tetapi vaksin dapat melindungi daripada kesan jangkitan yang teruk sehingga boleh menyebabkan kematian. Pencegahan melalui pemakaian pelitup muka dan mematuhi SOP adalah sangat penting bagi mengelak daripada dijangkiti dan menjangkiti orang lain.

Warga emas perlu dimaklumkan dan dipupuk membudayakan norma baharu dalam kehidupan. Ahli keluarga, penjaga, pengusaha pusat jagaan, dan komuniti perlu diingatkan untuk memainkan peranan penting membantu warga emas mematuhi nasihat-nasihat kesihatan yang disarankan seperti:

  • Kekal amalkan kehidupan norma baru;
  • Amalkan dan patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan;
  • Ambil dan lengkapkan vaksin termasuk dos penggalak;
  • Amalkan kawalan kesihatan awam kendiri (TRIIS) seperti menjalani ujian dan kuarantin kendiri jika bergejala atau menjadi kontak rapat kepada kes positif COVID-19; dan
  • Dapatkan rawatan segera jika gejala bertambah teruk.

Warga emas juga perlu membudayakan hidup sihat dengan melakukan aktiviti fizikal secara berkala, makan secara sihat, dan menjaga kesihatan mental untuk mengukuhkan daya ketahanan badan melawan penyakit.

Rujuk : KPKESIHATAN.COM

Next Post Previous Post