PERKEMBANGAN SEMASA VARIAN BAHARU OMICRON (B.1.1.529) DAN LANGKAH-LANGKAH KAWALAN SERTA PENCEGAHAN DI MALAYSIA
KENYATAAN MEDIA KKM 04/01/2021 : PERKEMBANGAN SEMASA VARIAN BAHARU OMICRON (B.1.1.529) DAN LANGKAH-LANGKAH KAWALAN SERTA PENCEGAHAN DI MALAYSIA
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa sebanyak 58 lagi kes positif COVID-19 telah disahkan varian Omicron melalui jujukan genom penuh (WGS) yang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR). Daripada 58 kes ini, sebanyak 54 kes merupakan jangkitan import dari luar negara manakala empat (4) kes lagi merupakan penularan tempatan seperti di Lampiran 1.
Daripada 54 kes jangkitan import:
• 39 kes adalah daripada Arab Saudi;
• Tujuh (7) dari Emiriah Arab Bersatu (UAE)
• Empat (4) kes dari United Kingdom
• Dua (2) kes dari Nigeria;
• Satu (1) kes dari Kazakhstan; dan
• Satu (1) Perancis.
Manakala, empat (4) kes penularan tempatan dipercayai mendapat jangkitan daripada seorang jemaah umrah yang positif COVID-19 varian Omicron. Ujian jujukan genom penuh (WGS) ke atas sampel-sampel yang menunjukkan kemungkinan varian Omicron masih dijalankan dan KKM akan memberi perkembangan terkini berhubungan pengesahan varian Omicron dari semasa ke semasa.
Dengan keputusan terbaharu ini, jumlah kumulatif kes positif COVID-19 yang dikesan varian Omicron di Malaysia adalah sebanyak 122 kes (Lampiran 2). Daripada jumlah ini, 117 kes merupakan jangkitan import dari luar negara manakala lima (5) kes lagi merupakan penularan tempatan. Daripada keseluruhan kes varian Omicron yang dilaporkan, sebanyak 71 kes (58.2%) merupakan Jemaah Umrah.
KKM juga ingin memaklumkan bahawa hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan oleh IMR ke atas 1,774 kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara yang tiba di Malaysia bagi tempoh 1 hingga 31 Disember 2021 mendapati 1,220 (68.8%) sampel menunjukkan berkemungkinan (presumptive) varian Omicron. Daripada 1,220 presumptive varian Omicron ini, 928 (76.1%) melibatkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi.
EMPAT (4) KES COVID-19 PENULARAN TEMPATAN VARIAN OMICRON DI NEGERI KEDAH
KKM juga ingin memaklumkan empat (4) kes COVID-19 varian Omicron penularan tempatan telah dilaporkan di Negeri Kedah pada 4 Januari 2022. Keempat-empat kes merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 varian Omicron yang balik dari mengerjakan umrah di Arab Saudi pada 12 Disember 2021 dan disahkan positif varian Omicron pada 24 Disember 2021.
Pendedahan kepada kes ini berlaku pada 13 Disember 2021 dan kesemua mereka mula bergejala dengan kategori 2 pada 17 Disember 2021. Ujian RT-PCR COVID-19 yang dijalankan selanjutnya pada 19 Disember 2021 adalah positif dengan CT Value di antara 20.80 hingga 21.49. Kesemua mereka telah diberi rawatan selama 14 hari di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah.
KKM ingin mengingatkan agar individu yang diarahkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman atau rumah untuk terus mematuhi arahan tersebut, kekal dalam bilik berasingan, dan tidak bertemu dengan ahli rumah atau individu yang lain.
Kegagalan mematuhi arahan ini akan menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 termasuk varian Omicron kepada ahli keluarga dan dalam komuniti. KKM menyarankan kepada individu yang layak menerima vaksin COVID-19 supaya mendapatkan dos penggalak bagi mencapai tahap perlindungan yang optimum serta mengelakkan jangkitan COVID-19 yang teruk serta komplikasinya.
KHAIRY JAMALUDDIN
Menteri Kesihatan Malaysia
4 Januari 2022