COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

ANALISA SITUASI SEMASA JANGKITAN COVID-19 DI MALAYSIA (MINGGU EPIDEMIOLOGI 1/2022)

Bagi Minggu Epidemiologi 1/2022 (ME1) yang bermula dari 2 Januari 2022 sehingga 8 Januari 2022, jumlah kes baharu COVID-19 yang dilaporkan adalah 21,859 kes dengan jumlah kes kematian sebanyak 142 kes manakala purata kes aktif bagi ME1 adalah 38,581 kes.

1. Indikator-Indikator Jangkitan COVID-19

  • Penurunan kes baharu sebanyak 5.3 peratus iaitu daripada 23,071 kes (ME 52/2021) kepada 21,859 kes (ME 1/2022);
  • Purata kes aktif turut mencatatkan penurunan sebanyak enam (6) peratus dengan purata 38,581 kes pada ME 1/2022 berbanding 40,963 kes pada ME 52/2021. Penurunan ini telah diperhatikan semenjak enam (6) minggu yang lalu;
  • Kes kematian konsisten menunjukkan penurunan sebanyak 28.3 peratus dengan 142 kematian berbanding 198 kematian pada ME 52/2021. Penurunan ini dicatatkan mulai ME 51/2021, iaitu dua (2) minggu yang lalu.
  • Purata kes yang memerlukan rawatan di ICU menunjukkan penurunan sebanyak 11.1 peratus iaitu 226 kes (ME 52/2021) kepada 201 kes (ME 1/2022). Penurunan ini dilaporkan sejak sembilan (9) minggu lalu (ME 44/2021).
  • Purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan 4.6 peratus iaitu dari 87 kes (ME 52/2021) ke 83 kes (ME 1/2022). Purata ini kekal menunjukkan tren penurunan semenjak 21 minggu yang lalu (ME 32/2021).

Purata nilai Rt meningkat sebanyak 3.16 peratus kepada 0.98 (95% CI 0.96 – 0.99) pada ME 1/2022 dari 0.95 (95% CI 0.94 – 0.96) pada ME 52/2021.

image-3

Rajah 1 di bawah jelas menunjukkan tren penggunaan ICU untuk kes COVID-19 semakin menurun berturut-turut mulai sembilan (9) minggu yang lalu iaitu ME 44/2021.

image-4

Selain itu, tren penurunan penggunaan ventilator untuk kes COVID-19 juga dapat dilihat dengan ketara mulai 21 minggu lepas iaitu ME 32/2021 berdasarkan Rajah 2.

image-5

Penurunan kedua-dua indikator ini selari dengan peningkatan liputan vaksinasi seluruh negara yang kini telah mencatat 78.5 peratus populasi keseluruhan lengkap divaksinasi (sehingga 9 Januari 2022, 11.59 malam).

2. Kluster

Dari kumulatif 6,158 kluster yang dilaporkan setakat 8 Januari 2022, terdapat 176 kluster masih aktif [penurunan sebanyak 18.1 peratus (39 kluster) berbanding minggu lalu]. Selain itu, sebanyak 64 kluster telah diisytiharkan tamat pada ME 1/2022, sekaligus menjadikan peningkatan kluster tamat sebanyak 60.0 peratus berbanding ME 52/2021. Terdapat 25 kluster baharu telah dilaporkan pada ME 1/2022 yang terdiri daripada (Jadual 2);

  • 11 (44.0 peratus) kluster tempat kerja;
  • Enam (6) (24.0 peratus) kluster import;
  • Tiga (3) (12.0 peratus) kluster pusat pendidikan;
  • Tiga (3) (12.0 peratus) kluster kumpulan berisiko tinggi; dan
  • Dua (2) (8.0 peratus) kluster komuniti;

image-6

Memandangkan sesi persekolahan sudah dibuka semula, peningkatan kluster pendidikan yang terjadi pada minggu lepas perlu diambil serius oleh semua pihak yang terlibat dengan aktiviti pembukaan semula persekolahan. Pematuhan SOP serta keselamatan dan kesihatan warga sekolah perlu diberi perhatian yang lebih agar kewujudan kluster baharu pendidikan dapat dicegah. Ini kerana ia boleh mengakibatkan jangkitan yang lebih meluas dalam kalangan pelajar, guru, pekerja di institusi pengajian, dan juga kepada keluarga mereka, seterusnya merebak pula ke komuniti.

Selain itu, peningkatan kluster kumpulan berisiko tinggi juga agak membimbangkan kerana jangkitan COVID-19 kepada golongan tersebut akan mendedahkan mereka kepada risiko gejala yang lebih teruk sekiranya tidak divaksinasi atau status vaksinasi sudah melebihi tiga (3) bulan. Oleh itu, segeralah mendaftar dan dapatkan vaksin COVID-19 atau dos penggalak sekiranya layak untuk mengurangkan risiko jangkitan yang serius sekaligus membina imuniti kelompok. Teruskan mematuhi SOP dan perkukuhkan tindakan kesihatan kendiri dengan mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform and Seek) bagi mendidik diri kita menjadi individu yang bertanggungjawab dan melindungi orang-orang di sekeliling kita daripada risiko jangkitan.

Memandangkan kluster import sudah mula meningkat sejak dua minggu yang lalu, KKM ingin mengingatkan agar individu yang diarahkan menjalani kuarantin wajib di tempat kediaman atau rumah untuk terus mematuhi arahan tersebut, kekal dalam bilik berasingan, dan tidak bertemu dengan ahli rumah atau individu yang lain. Kegagalan mematuhi arahan ini akan menyebabkan penularan jangkitan COVID-19 termasuk varian Omicron kepada ahli keluarga dan dalam komuniti.

3. Kapasiti Hospital

Penggunaan katil biasa di hospital pada ME 1/2022 kekal statik dengan 28 peratus pengisian manakala katil di PKRC mencatatkan peningkatan penggunaan sebanyak lima (5) peratus berbanding ME 52/2021. Selain itu, penggunaan katil Intensive Care Unit (ICU) dan penggunaan ventilator telah menurun sebanyak satu (1) peratus berbanding ME 52/2021 seperti yang diperincikan dalam Jadual 3.

image-7

Rujuk : KPKESIHATAN.COM

Next Post Previous Post