COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Satu Dos Suntik, Satu Dos Simpan

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan bermula akhir bulan ini menyediakan dua dos suntikan vaksin keluaran Pfizer.
Apabila penerima hadir ke pusat pemberian vaksin, mereka akan terus didaftarkan dengan dua dos suntikan vaksin.
Dos pertama akan disuntik pada hari itu manakala dos kedua akan disimpan untuk disuntik selepas 21 hari.
Penerima dos pertama akan diberikan kad dan didaftarkan dalam aplikasi MySejahtera.
Pengarah Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) KKM, Dr Kalaiarasu Peariasamy berkata, strategi 'satu dos suntik satu dos simpan' untuk memastikan bekalan vaksin sudah tersedia untuk suntikan dos kedua dalam tempoh yang ditetapkan.
Ketika menjadi tetamu dalam program Agenda Awani di Astro Awani, Dr Kalaiarasu berkata, KKM mengkaji masalah yang berlaku di negara lain dan menyediakan perancangan yang lengkap kerana ini merupakan program imunisasi terbesar.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas masalah kekurangan bekalan vaksin di beberapa negara yang menyebabkan dos kedua tidak dapat diberi dalam tempoh ditetapkan.
Dr Kalaiarasu berkata, vaksin tidak berkesan jika dua dos yang diambil dari vaksin berbeza. (contoh dos pertama Pfizer, dos kedua vaksin Sinovac).
"Ini telah dibuktikan melalui ujian klinikal yang mana sesuatu vaksin hanya berkesan jika diambil dua dos vaksin yang sama," katanya.
Vaksin Pfizer perlu diambil dua dos untuk mencapai 95% keberkesanan bagi mencegah jangkitan.
Malaysia akan menerima vaksin Pfizer yang meliputi keperluan 20% populasi yang akan diterima sepanjang tahun.
Rundingan juga sedang dijalankan untuk menambah lagi vaksin Pfizer meliputi 30% populasi.
Selain vaksin Pfizer, Malaysia juga telah memeterai perjanjian untuk pembelian vaksin keluaran AstraZeneca (UK), Sinovac (China) dan Sputnik V (Rusia).

LindungDiriLindungSemua

Rujuk : FB KKM

Next Post Previous Post