PUSAT PENILAIAN COVID-19 (COVID-19 ASSESSMENT CENTER – CAC)
Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) ditubuhkan bagi mengendalikan penilaian pesakit-pesakit positif COVID-19 yang menjalani rawatan pemantauan di rumah. Perkhidmatan CAC ini telah dimulakan pada 25 Januari 2021 secara berperingkat di semua negeri. Sehingga kini, terdapat 152 buah pusat CAC yang sedang beroperasi di seluruh negara dan secara kumulatif, sejumlah 60,052 pesakit telah dipantau oleh CAC. Pada masa ini, CAC sedang memantau seramai 20,089 pesakit yang sedang menjalani pengasingan di rumah. Pecahan ikut negeri adalah seperti di Lampiran 5.
Secara umumnya, CAC bertindak sebagai pusat rujukan bagi mengenal pasti, menilai, memantau, serta menguruskan pesakit yang telah disahkan positif COVID-19. Penilaian dan pemantauan kepada kesemua pesakit ini dijalankan oleh pasukan yang diketuai oleh Pakar Perubatan Kesihatan Awam dan Pakar Perubatan Kesihatan Keluarga serta dibantu oleh anggota-anggota sokongan klinikal yang lain.
Bagi melancarkan perkhidmatan, CAC beroperasi sama ada di stadium, dewan komuniti, balai raya atau mana-mana fasiliti Kerajaan, bergantung kepada kesesuaian dan keperluan setempat. Secara umumnya, CAC beroperasi dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang pada hari bekerja. Walau bagaimana pun, terdapat juga CAC yang beroperasi pada hari minggu. Butiran lanjut mengenai waktu operasi CAC ini dipaparkan di Portal Rasmi COVID-19 Malaysia KKM (covid-19.moh.gov.my/hotline) dan media sosial (Facebook) Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing.
Pesakit-pesakit COVID-19 yang tidak bergejala dan bergejala ringan serta memenuhi kriteria-kriteria yang ditetapkan oleh KKM akan menjalani pengasingan di rumah selama sepuluh (10) hari. Pengurusan pesakit-pesakit ini adalah tertakluk di bawah Perintah Pengawasan dan Pemerhatian bagi Kes Jangkitan Penyakit Korona Virus 2019 (COVID-19), Akta Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Kesemua pesakit ini akan dipakaikan gelang pengawasan (wristband) sepanjang tempoh pengasingan mereka di rumah.
Selain itu, pemantauan kendiri perlu dilaksanakan oleh pesakit sepanjang tempoh pengasingan iaitu melalui Home Assesment Tool yang dibekalkan oleh CAC. Pesakit-pesakit tersebut juga perlu melaporkan status kesihatan setiap hari melalui aplikasi MySejahtera atau apabila dihubungi oleh anggota kesihatan.
Sekiranya pesakit-pesakit mengalami kemerosotan gejala, mereka dinasihatkan agar menghubungi CAC dengan kadar segera atau talian 999 untuk kecemasan. Maklumat lanjut berkenaan pemantauan kendiri di rumah boleh dirujuk di laman sesawang Portal COVID-19 Malaysia KKM (http://covid-19.moh.gov.my/garis-panduan/pemantauan-kendiri-kes-positif-covid-19-di-rumah).
Rujuk : KPKESIHATAN.COM