STATUS KLUSTER COVID-19 DI SEKOLAH SERI PUTERI
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin mengemaskini status kluster COVID-19 yang melibatkan warga sebuah sekolah di Cyberjaya iaitu Sekolah Seri Puteri dan dinamakan Kluster Persiaran Tasik. Kluster ini telah diumumkan pada 29 November 2021 apabila seramai lapan (8) kes disahkan postif COVID-19.
Susulan dari pengesanan kes-kes ini, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sepang telah melakukan saringan daripada 26 November 2021 sehingga 3 Disember 2021 ke atas 973 orang warga sekolah dan mendapati 135 kes baharu positif COVID-19. Ini menjadikan keseluruhan kes COVID-19 dalam kluster ini seramai 143 orang iaitu 114 murid, 19 guru, dan 10 kakitangan; dengan kadar serangan 14.7%.
Daripada 143 kes yang positif COVID-19, seramai 106 kes dalam kategori 1 manakala 35 kes yang lain adalah dalam kategori 2A dan dua (2) kes dalam kategori 2B (masing-masing seorang guru dan seorang murid). Kesemua kes positif ini berada dalam keadaan stabil. Kesemua murid yang positif COVID-19 dan seorang guru telah dimasukkan ke MAEPS untuk rawatan dan pemantauan lanjut.
Sementara itu, seramai 700 orang kontak rapat iaitu 603 murid, 59 orang guru, dan 38 orang kakitangan telah dikenal pasti. Kontak rapat dalam kalangan murid dimasukkan ke stesen kuarantin iaitu di Institut Aminuddin Baki dan Institut Latihan Islam Malaysia. Manakala kontak rapat dalam kalangan guru dan kakitangan dikuarantin di rumah masing-masing.
Selain dari aktiviti saringan dan pengasingan kes positif dan kontak rapat, sekolah telah diarahkan ditutup sementara di bawah Seksyen 18 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] bagi tujuan pembersihan dan disinfeksi. Satu sesi taklimat dan penerangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah tersebut telah diadakan. Pemantauan berterusan akan dijalankan bagi memastikan kluster ini terkawal.
Rujuk : KPKESIHATAN.COM