SITUASI SEMASA BENCANA BANJIR DAN JANGKITAN COVID-19 DI PUSAT PEMINDAHAN SEMENTARA (PPS) - 22/12/2021
Sehingga jam 3 petang 22 Disember 2021, KKM ingin memaklumkan:
- Jumlah Pusat Perpindahan Sementara (PPS) yang masih beroperasi – 415 PPS;
- Jumlah negeri dilanda banjir – Tujuh (7) (Kelantan, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, dan Melaka);
- Jumlah keseluruhan mangsa terjejas banjir – 65,114 orang;
- Kes positif COVID-19 dalam kalangan mangsa banjir – 361 kes; dan
- Kes positif COVID-19 di PPS – Tiada.
Pada 22 Disember 2021, sebanyak 963 (27.2%) daripada 3,438 mangsa banjir telah diperiksa dan diberi rawatan pesakit luar oleh pasukan perubatan di PPS. Bilangan kes yang dilaporkan adalah seperti dalam Jadual 1:


KKM ingin menasihatkan orang ramai supaya:
a. Memaklumkan status risiko COVID-19 kepada anggota penyelamat sekiranya disahkan positif COVID-19 atau dikenal pasti sebagai kontak rapat agar tindakan sewajarnya dapat diambil semasa proses pemindahan dan penyelamatan;
b. Sentiasa patuh kepada SOP dan amalan norma baharu semasa proses pemindahan dan sepanjang tempoh berada di PPS;
c. Sentiasa memakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal, dan maklumkan kepada petugas atau pasukan perubatan di PPS sekiranya mengalami gejala COVID-19;
d. Elakkan dari berkumpul beramai-ramai dalam kalangan mangsa banjir semasa berada di PPS;
e. Memakai pelindung diri semasa operasi memindahkan mangsa banjir dan sewaktu melakukan proses-proses pembersihan pasca banjir;
f. Pastikan kebersihan diri terjaga dengan segera membersihkan badan yang terkena air banjir dengan air bersih dan amalkan mencuci tangan menggunakan cecair pembasmi kuman atau sabun terutamanya apabila pergi ke tempat gunasama seperti tandas;
g. Elakkan diri daripada bermain atau meredah air banjir;
h. Sentiasa menjaga kebersihan kawasan PPS untuk mengelakkan daripada penyakit bawaan vektor;
i. Elakkan daripada minum air dan makan makanan yang sudah tercemar;
j. Sekiranya bergejala, segera dapatkan rawatan di klinik atau hospital yang berhampiran terutamanya bagi individu yang berisiko tinggi seperti warga emas, kanak-kanak, wanita hamil, dan juga individu yang mempunyai komorbiditi; dan
k. Petugas perubatan di semua fasiliti kesihatan perlu lebih berwaspada akan gejala-gejala penyakit yang sering dikaitkan dengan kejadian banjir seperti yang disebutkan di atas, seterusnya melakukan pemeriksaan yang sepatutnya agar rawatan segera dapat diberikan.
KKM akan sentiasa memantau dan menjalankan aktiviti kawalan dan pencegahan sebaik-baiknya agar penyakit berjangkit akibat bencana banjir terutamanya COVID-19 dapat dibendung. Untuk maklumat lebih lanjut dan kemaskini mengenai info bencana banjir, sila layari laman web https://infobencanajkmv2.jkm.gov.my/portal/index
Rujuk : KPKESIHATAN.COM