NASIHAT PENJAGAAN KESIHATAN KETIKA MENYAMBUT PERAYAAN HARI NATAL SEWAKTU PANDEMIK COVID-19
KKM ingin mengucapkan Selamat Hari Natal kepada semua warga Malaysia yang menyambut perayaan ini, terutamanya buat kakitangan KKM. Semenjak COVID-19 melanda negara ini, masyarakat telah pun menyambut perayaan masing-masing dengan norma baharu. Justeru, KKM ingin mengingatkan keluarga Malaysia yang menyambut perayaan ini supaya sentiasa patuh kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah digariskan kerana pada hakikatnya, kita masih lagi berjuang untuk melawan COVID-19.
Sejajar dengan perkembangan teknologi komunikasi terkini, keluarga Malaysia digalakkan untuk memanfaatkan panggilan video sebagai gantian amalan ziarah menziarahi. Sekiranya masih lagi merancang untuk berkumpul secara fizikal atau berkunjung untuk sambutan Krismas, lakukan TRIIS (Trace, Report, Isolate, Inform dan Seek) terlebih dahulu sebelum menghadiri sambutan tersebut.
Jagalah penjarakan fizikal dan pakai pelitup muka sepanjang masa kecuali ketika menjamu selera. Elakkan berkongsi perkakas makanan dan minuman. Kerapkan mencuci tangan dengan sabun atau hand sanitizer, dan elakkan dari menyentuh mata, hidung dan mulut.
Sebaiknya, hadkan bilangan orang yang hadir ke perkumpulan keluarga. Ahli keluarga yang tidak sihat dinasihatkan untuk mengelak bercampur gaul bersama ahli keluarga yang sihat. Tempoh masa perkumpulan juga seeloknya dihadkan. Untuk memastikan pengudaraan yang lebih baik, tingkap dan pintu seharusnya dibiarkan terbuka agar pergerakan udara adalah lebih bebas. Jika boleh adakan sambutan tersebut di kawasan luar rumah. Selain itu, elakkan juga dari bersembang secara dekat dan lama ketika sedang berkumpul.
Bagi individu yang dikategorikan sebagai kontak rapat ataupun positif COVID-19, KKM ingin menegaskan bahawa anda perlu disiplin dalam menjalankan kuarantin. Ini bagi mengelakkan penularan wabak COVID-19 dan secara tidak langsung dapat melindungi warga tua serta kumpulan-kumpulan rentan daripada dijangkiti COVID-19.
Dengan pematuhan kepada nasihat yang digariskan di atas, anda masih boleh menyambut perayaan ini di samping keluarga tercinta, namun dengan cermat dan selamat. Bagi yang berada di jalan raya sepanjang musim perayaan dan cuti sekolah ini, berhati-hati di jalan raya. Ingatlah kepada orang yang anda sayang.


Rujuk : FB Ketua Pengarah Kesihatan KKM