VARIAN OMICRON - TINGKATKAN KEWASPADAAN & KEKAL TENANG
Berikutan sidang media YB Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, adalah penting untuk kita semua berwaspada, tetapi tenang menghadapi varian Omicron. Penjujukan awal telah diadakan dan usaha pengesanan kontak turut dilakukan sebaik sahaja dimaklumkan mengenai varian Omicron
Berikut adalah beberapa data yang dapat dikemukakan dan laporan yang dikeluarkan ini adalah sangat meyakinkan.
Dalam masa 1-2 jam susulan varian Omicron, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan 4 generasi kenalan yang melibatkan 3.2 juta check-in MySejahtera:
- Indeks: Kes Omicron
- Gen 1: Terdedah dalam penerbangan atau di KLIA
- Gen 2: Terdedah melalui Gen 1
- Gen 3: Terdedah melalui Gen 2
Usaha ini dilengkapi dengan "follow up" oleh frontliner kita di lapangan.
Sebagai makluman pengesanan genomik yang dilakukan KKM adalah secara menyeluruh dan teliti. Kajian menunjukkan sampel yang diperolehi adalah dari 19 November 2021, iaitu sebelum Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan Omicron sebagai “Varian Yang Perlu Diperhatikan” (VOC).
Hasil usaha pengesanan kontak yang dilakukan oleh KKM sangat meyakinkan. Laporan menunjukkan:
• Kadar ujian untuk pelancong yang masuk adalah 100% (seperti yang disyaratkan).
• Dengan lebih daripada 80 ribu individu dikesan, terdapat kurang daripada 100 kes positif.
Dan yang paling penting, tidak ada kes positif dalam kalangan kontak rapat.
Berdasarkan penyiasatan yang dilakukan ke atas kontak rapat dan kes indeks, KKM dapat mengesahkan bahawa tidak ada ketidakpatuhan kuarantin (seperti yang ditunjukkan oleh data MySejahtera).
1) Kewujudan kes Omicron di Malaysia telah menjadi satu "test run" yang baik terhadap sistem tindak balas KKM seperti:
• Tiada pemecahan kuarantin
• Pengesanan kontak dengan pantas
• Kadar ujian 100% di pintu kemasukan
2) KKM akan terus meningkatkan survelan genomik.
3) Kita digalakkan untuk berwaspada, tetapi tenang apabila menghadapi varian Omicron.
Terdapat kemungkinan besar bahawa Omicron sudah berada di kalangan kita, walaupun data memberi keyakinan tiada penularan tempatan berkaitan dengan kes ini khususnya.
Walaubagaimanapun, kami di KKM tidak akan alpa. KKM akan sentiasa berwaspada dan membuat yang terbaik demi rakyat Malaysia.
Rujuk : FB KKM