ANALISA SITUASI SEMASA JANGKITAN COVID-19 DI MALAYSIA [MINGGU EPIDEMIOLOGI (ME) KE-48
Sehingga 4 Disember 2021 [Minggu Epidemiologi (ME) ke-48], sebanyak 2,654,474 kes kumulatif COVID-19 telah dilaporkan dengan 62,670 kes aktif dan 30,574 kes kumulatif kematian. Walaupun nilai Rt/Ro Malaysia meningkat sedikit pada minggu lepas, semua indikator utama jangkitan COVID-19 kini mencatatkan penurunan berbanding ME ke-47. Dari segi kewujudan kluster baharu pula, semua kategori kluster menunjukkan tren penurunan kecuali kluster pendidikan.
1. Indikator-Indikator Jangkitan COVID-19
Pada ME ke-48 iaitu daripada 28 November 2021 sehingga 4 Disember 2021;
- Penurunan kes baharu sebanyak 7.8 peratus iaitu daripada 37,830 kes (ME ke-47) kepada 34,897 kes (ME ke-48). Tren penurunan kes ini dicatatkan sejak dua (2) minggu lepas mulai ME ke-46.
- Kes kematian kekal konsisten menunjukkan penurunan sebanyak 3.3 peratus dengan 294 kematian pada ME ke-48 berbanding 302 kematian pada ME ke-47. Penurunan ini dicatatkan mulai ME ke-43.
- Purata kes yang memerlukan rawatan di ICU menunjukkan penurunan sebanyak 11 peratus iaitu 431 kes (ME ke-47) kepada 386 kes (ME ke-48).
- Purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan (3.5 peratus) dari 169 kes (ME ke-47) ke 163 kes (ME ke-48).
- Nilai Rt meningkat semula sebanyak 0.3 peratus kepada 0.97 (95% CI 0.95 – 0.97) dan peningkatan ini dicatat semenjak 1 Disember 2021.
Tren penurunan penggunaan Alat Bantuan Pernafasan (ventilator) untuk kes COVID-19 juga dapat dilihat mulai 16 minggu lepas iaitu ME ke-32 berdasarkan Rajah 2. Penurunan kedua-dua indikator ini selari dengan peningkatan liputan vaksinasi seluruh negara yang kini telah mencatat 77.9% populasi lengkap divaksinasi (setakat 5 Disember 2021, 11.59 malam).
2. Kluster
Sehingga 4 Disember 2021, terdapat kumulatif 5,969 kluster telah dilaporkan dan hanya 227 kluster masih lagi aktif (penurunan sebanyak 3.0 peratus berbanding ME ke-47). Selain itu, sebanyak 48 kluster telah diisytiharkan tamat pada ME ke-47, lalu menjadikan penurunan sebanyak 14.3 peratus berbanding ME ke-47. Sebanyak 41 kluster telah dilaporkan pada ME ke-48 yang terdiri daripada (Jadual 2);
- 21 (51.2 peratus) kluster tempat kerja;
- 16 (39.1 peratus) kluster pusat pendidikan;
- Dua (2)(4.9 peratus) kluster aktiviti keagamaan;
- Satu (1) (2.4 peratus) kluster komuniti; dan
- Satu (1) (2.4 peratus) kluster kumpulan berisiko tinggi.
Peningkatan semula kluster pendidikan bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan memandangkan individu dari pelbagai isi rumah akan berada dalam ruang dan waktu yang sama dan ketidakpatuhan seseorang individu terhadap SOP yang sedia ada akan mencetuskan kluster yang tidak kita ingini. Data mendapati dari 16 kluster baharu yang melibatkan institusi pendidikan, sebanyak 12 kluster berlaku di sekolah menengah dan institusi pendidikan tinggi.
Oleh kerana kebanyakan populasi remaja dan dewasa telah lengkap divaksinasi, KKM ingin mengingatkan semula bahawa pengambilan vaksin tidak bermakna pematuhan SOP tidak diperlukan lagi. Pemakaian pelitup muka dengan cara yang betul dan kebersihan tangan masih lagi penting bagi mencegah jangkitan COVID-19. Elakkan tempat yang sesak kerana penjarakan fizikal juga perlu dijaga. Perkukuhkan tindakan kesihatan kendiri dengan mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, and Seek) bagi mendidik diri kita menjadi individu yang bertanggungjawab dan melindungi orang-orang di sekeliling kita daripada risiko jangkitan.
Pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) juga mempunyai SOP yang telah ditetapkan dan perlu dipatuhi oleh guru, petugas, pelajar/murid, pekerja sokongan, dan lain-lain. Pematuhan SOP oleh setiap individu ini adalah amat penting untuk memastikan tidak berlaku jangkitan COVID-19 dan penularan jangkitan di sekolah serta selanjutnya boleh menyebabkan berlaku dalam keluarga dan komuniti. Pematuhan ini bukan sahaja penting semasa waktu pembelajaran di dalam kelas dan ketika di dalam sekolah, malah penting juga ketika waktu rehat, waktu menjalankan aktiviti fizikal seperti bersukan, waktu masuk dan pulang dari sekolah, di dalam van dan bas sekolah, serta semasa menjalankan aktiviti harian di dalam komuniti. Jangkitan dan penularan boleh berlaku di mana-mana, maka semua pihak perlu peka dan tidak lalai dalam mematuhi SOP yang ditetapkan.
3. Kapasiti Hospital
Kadar penggunaan fasiliti kesihatan (Katil Bukan ICU, PKRC dan Katil ICU) didapati menurun pada ME ke-48. Penggunaan katil bukan ICU di hospital telah mencatatkan penurunan dua (2) peratus manakala PKRC menurun sebanyak lima (5) peratus berbanding ME ke-47 seperti yang digambarkan pada Jadual 3. Penggunaan katil ICU turut mencatatkan penurunan sebanyak satu (1) peratus pada ME ke-48.
Untuk makluman, kajian terbaru mendapati keberkesanan vaksin akan menurun selepas beberapa bulan individu divaksin. Oleh yang demikian, KKM menggesa individu yang mendapat tarikh janji temu dos penggalak vaksin COVID-19 untuk hadir bagi menerima suntikan tersebut. Bagi yang belum menerima vaksin namun tidak pernah dijangkiti COVID-19, golongan ini merupakan kumpulan paling berisiko mendapat jangkitan COVID-19. Nasihat KKM, segeralah mendaftar dan dapatkan vaksin COVID-19 agar diri dan keluarga dilindungi daripada virus merbahaya ini.
Kesimpulannya, penurunan yang diperhatikan dalam indikator utama pada minggu lepas, bukanlah bererti kita boleh menjadi alpa dan leka daripada pematuhan SOP semasa melakukan aktiviti sosial dan ekonomi di luar rumah. Seperti yang kerap kali ditekankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), “No One Is Safe Until Everyone Is Safe”. Oleh itu, kita semua hendaklah sentiasa saling ingat mengingati dan mengamalkan norma baharu yang ketat terutamanya dari segi penggunaan pelitup muka yang betul, penjagaan kebersihan tangan yang baik, serta penjarakan fizikal. Kewujudan Varian Omicron yang diumumkan baru-baru perlu diambil serius semua pihak dan menjadi peringatan agar kita kekal mematuhi SOP setiap masa.
Rujuk : KPKESIHATAN.COM