COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

SITUASI DAN MAKLUMAT TERKINI MENGENAI MUTASI SPIKE PROTEIN COVID-19 DI MALAYSIA

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bahawa sebanyak 266 kes baharu varian dilaporkan dalam tempoh 16 November 2021 sehingga 24 November 2021. Malaysia Genome & Vaccine Insitute (MGI) telah mengenalpasti sebanyak 46 kes baharu yang kesemuanya adalah Variant of Concern (VOC) iaitu varian Delta (B.1.617.2), UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI-UKM) telah mengenalpasti sebanyak 46 kes baharu yang kesemuanya adalah VOC iaitu varian Delta (B.1.617.2), Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE) telah mengenalpasti 48 kes baharu yang kesemuanya adalah VOC iaitu varian Delta (B.1.617.2), Institute for Medical Research (IMR) telah mengenalpasti 32 kes baharu baharu yang kesemuanya adalah VOC iaitu varian Delta (B.1.617.2), manakala Tropical Infectious Diseases Research & Education Centre (TIDREC) telah mengenalpasti 94 kes baharu yang kesemuanya adalah VOC iaitu varian Delta (B.1.617.2).
Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan Variant of Interest (VOI) adalah sebanyak 4,177 kes. Daripada jumlah yang dikesan tersebut, 4,157 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah VOI. Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak;
• 3,917 kes varian Delta;
• 226 kes varian Beta; dan
• 14 kes varian Alpha.
Manakala bagi kes-kes VOI, terdapat sebanyak;
• 13 kes varian Theta;
• Empat (4) kes varian Kappa; dan
• Tiga (3) kes varian Eta.

Perincian kes-kes positif COVID-19 varian VOC dan VOI mengikut negeri, saringan, dan kluster adalah seperti di Jadual 1-3.



STATUS DI MALAYSIA MENGENAI COVID-19 VARIAN BAHARU B.1.1.529

KKM mengambil maklum berkaitan laporan berita mengenai varian baharu COVID-19 iaitu B.1.1.529. Setakat ini tiga (3) buah negara telah melaporkan kes berkaitan varian baharu ini
iaitu Afrika Selatan (77 kes), Botswana (4 kes) dan Hong Kong (2 kes). Kes pertama dilaporkan di negara Botswana pada 11 November 2021, manakala negara Afrika Selatan pada 14 November 2021 dan Hong Kong pada 25 November 2021. Kes yang dilaporkan di Hong Kong mempunyai sejarah melawat Afrika Selatan. Belum ada kes dilaporkan di Malaysia.
Menurut laporan, varian baharu ini mempunyai 32 mutasi spike protein iaitu dua (2) kali ganda lebih banyak daripada varian delta. Sehingga kini belum ada maklumat lanjut bagi tempoh inkubasi, gejala dan kebolehjangkitan bagi varian B.1.1.529 ini.
Untuk makluman buat masa ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih lagi membuat pemantauan yang rapi mengenai perkembangan yang berkaitan pelaporan varian baharu B.1.1.529. Buat masa ini varian baharu ini dikategorikan oleh WHO sebagai Variant Under Monitoring (VUM).

Rujuk : KPK KKM

Next Post Previous Post