COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

KOMPLIKASI JANGKITAN COVID-19: LONG COVID DAN IMPLIKASINYA

Secara umum, kebanyakan pesakit COVID-19 di Malaysia berpotensi sembuh sepenuhnya. Walau bagaimanapun, terdapat segelintir individu bekas pesakit COVID-19 yang terkesan dengan komplikasi dikenali sebagai Long COVID.

Long COVID merupakan keadaan di mana bekas pesakit COVID-19 masih menunjukkan tanda-tanda dan gejala-gejala selepas jangkitan COVID-19. Terdapat dua tempoh bagi Long COVID iaitu:

  • Ongoing Symptomatic COVID-19 iaitu tanda dan gejala selepas jangkitan COVID-19 dalam tempoh 4 minggu sehingga 12 minggu;dan
  • Post COVID-19 Syndrome iaitu tanda dan gejala wujud pada ketika atau selepas jangkitan COVID-19 yang berterusan melepasi 12 minggu di mana ianya tidak dapat dijelaskan oleh sebarang diagnosis lain.

Daripada November 2020 sehingga September 2021, sejumlah 2,712 pesakit Long COVID dirujuk dalam tempoh 4 hingga 12 minggu selepas jangkitan COVID-19 ke COVID-19 Rehabilitation Outpatient Specialized Services (CROSS) Hospital Sungai Buloh. Daripada 2,712 pesakit Long COVID tersebut (Rajah 1):

  • Sebanyak 984 (36.3%) kes pulih sepenuhnya daripada gejala-gejala yang dialami;
  • Sebanyak 1,715 (63.2%) kes masih mengalami gejala-gejala berterusan;
  • Sebanyak 13 kes (0.05%) kes berakhir dengan kematian, namun semakan rekod perubatan mendapati terdapat faktor komorbid lain yang menyumbang kepada kes-kes kematian ini, iaitu melibatkan penyakit kanser yang telah merebak, kegagalan buah pinggang, serangan jantung, jangkitan kuman dalam darah serta jangkitan paru-paru.
    r1

Selain itu, analisa ke atas pengkalan data yang sama mendapati bahawa terdapat seramai 2,324 pesakit telah menjalani penilaian melepasi 12 minggu selepas jangkitan COVID-19. Didapati 97.5 peratus daripada mereka merupakan pesakit yang pernah mengalami jangkitan serius COVID-19 iaitu kategori 4 dan 5.

Penilaian selepas 12 minggu ke atas 2,324 kes ini mendapati:

  • Sebanyak 914 (39.4%) kes pulih sepenuhnya daripada gejala-gejala yang dialami;
  • Sebanyak 1,410 (60.6%) kes masih mengalami gejala-gejala berterusan di mana kebanyakan mereka melaporkan lebih dari satu (1) gejala.

Lima (5) gejala paling kerap dilaporkan adalah kelesuan (71.8%), kesukaran bernafas ketika melakukan aktiviti (61.9%), batuk (13.6%), kesakitan (13.2%), dan kesukaran tidur nyenyak (11%) (Rajah 2).

r2

Analisa terhadap fungsi yang dialami oleh pesakit long COVID (Rajah 3) selepas 12 minggu jangkitan mendapati:

  • 61.1% tidak mengalami kehilangan fungsi (bar 1);
  • 25.6% mengalami kesukaran fungsi yang boleh diabaikan (bar 2);
  • 8.9% mengalami kesukaran fungsi yang ringan (bar 3);
  • 3.7% mengalami kesukaran fungsi yang ketara tetapi tidak memerlukan bantuan individu lain (bar 4); dan
  • 0.7% mengalami kesukaran fungsi yang sangat ketara sehingga memerlukan bantuan individu lain (bar 5).
    r3

Tanpa rawatan yang khusus, keadaan ini akan berterusan dan tempoh masa yang lama diperlukan bagi kembali ke tahap fungsi sepenuhnya. Secara tidak langsung, ia akan menjejaskan kualiti kehidupan individu pasca jangkitan COVID-19. Selain itu, Long COVID juga boleh menyebabkan implikasi serius seperti peningkatan morbiditi, kehilangan upaya, penurunan produktiviti, dan hilang sumber pendapatan. Bebanan sosio-ekonomi bukan sahaja memberi impak kepada pesakit Long COVID, malah turut dirasai oleh ahli keluarga, masyarakat serta Negara.

Seiring dengan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dalam menangani Long COVID, KKM telah melaksanakan inisiatif berikut iaitu:

  1. Recognition – Long COVID dikenalpasti sebagai suatu entiti klinikal yang memerlukan perawatan khusus. Justeru garis panduan serta protokol kebangsaan yang melibatkan pelbagai perkhidmatan kepakaran perubatan termasuk Perawatan Umum, Perawatan Utama, Respiratori, Organizing Pneumonia, Immunocompromised, Nefrologi, Obstetrik, Pediatrik, Rehabilitasi serta Psikiatri telah diwujudkan bermula Julai 2021;
  2. Rehabilitation – Perkhidmatan rehabilitasi bagi menangani kesan jangka sederhana serta jangka panjang gejala Long COVID disediakan di fasiliti kesihatan tertentu untuk merawat individu yang terkesan. Justeru mereka yang mengalami gejala Long COVID disarankan agar mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan yang berdekatan bagi penilaian serta preskripsi program rehabilitasi awal oleh Jurupulih Perubatan Fisioterapi dan Jurupulih Perubatan Carakerja yang akan dipantau oleh Pakar Perubatan Keluarga. Bagi individu yang terkesan dengan gejala Long COVID yang lebih serius serta memerlukan program rehabilitasi khusus, mereka akan dirujuk ke hospital berpakar dengan perkhidmatan kepakaran perubatan rehabilitasi yang menyediakan program khusus melalui pendekatan pelbagai kepakaran secara interdisiplinari;
  3. Research – Pelbagai kajian klinikal melibatkan pelbagai kepakaran perubatan termasuk rehabilitasi kini sedang dijalankan bagi memahami dengan lebih terperinci gejala-gejala, faktor risiko, impak serta outcome gejala Long COVID.

Program Rehabilitasi Khusus yang diketuai oleh Pakar Perubatan Rehabilitasi, boleh didapati di hospital berpakar melibatkan pengendalian secara bersama oleh pasukan teras iaitu Pakar Perubatan Rehabilitasi, Pegawai Perubatan, Jurupulih Perubatan Fisioterapi, Jurupulih Perubatan Carakerja, dan jururawat. Matlamat utama program rehabilitasi dijalankan adalah untuk menangani gejala, meminimakan impak ke atas aktiviti dan fungsi harian serta mempercepatkan proses penyembuhan sepenuhnya. Sekiranya kehilangan fungsi berlaku dalam tempoh masa yang lama, teknik mengadaptasi dan penggunaan preskripsi peralatan yang sesuai akan dilakukan bagi meningkatkan kualiti hidup individu tersebut.

Sehingga 30 Oktober 2021, sejumlah 5,193 pesakit menjalani perawatan serta pemantauan program rehabilitasi menangani gejala Long COVID di seluruh negara melibatkan 31 buah hospital awam, 4 buah hospital universiti, dan 6 buah fasiliti kesihatan swasta.

Menyedari kesan pandemik COVID-19 ke atas individu yang terjejas ini, Perkhidmatan Perubatan Rehabilitasi KKM juga telah bekerjasama dengan Kementerian Sumber Manusia, Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak Melaka dan cawangan satelit di Hospital Ara Damansara untuk memperkasakan pesakit Long COVID sempena program Return to Work dengan memberikan rawatan rehabilitasi yang komprehesif dan menyeluruh. Selain itu, pembekalan peralatan rehabilitasi yang bersesuaian dan pembayaran faedah PERKESO bagi pencarum yang layak juga akan dijalankan. Kolaborasi bersama badan-badan bukan kerajaan seperti Mercy Malaysia dan Care, Share and Circle juga sedang dilakukan bagi mendapatkan sokongan professional untuk penyediaan bahan pendidikan pesakit meliputi bahasa utama di Malaysia secara bercetak serta elektronik.

Pandemik COVID-19 telah memberi kesan yang mendalam di setiap peringkat. Justeru, KKM ingin mengucapkan setinggi-tinggi perhargaan kepada semua pihak yang bekerjasama dalam menghadapi ujian ini. “Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, bersama-sama kita boleh mengharungi ujian ini”.

Rujuk : KPKESIHATAN.COM

Next Post Previous Post