ANALISA SITUASI TERKINI COVID-19 DI MALAYSIA - 12/11/2021
Secara umumnya, situasi penularan COVID-19 di Malaysia adalah baik, namun kita kini masuk ke fasa berjaga-jaga bagi memastikan keadaan terus terkawal dan bertambah baik.

Jika dilihat graf di Rajah 1 kes harian COVID-19 telah mulai meningkat sejak daripada minggu epidemiologi (ME) 14/2021 iaitu pada awal bulan April 2021. Peningkatan kes secara mendadak bermula pada ME 25/2021 sehingga mencapai puncak pada ME 33/2021 berikutan penyebaran varian Delta secara meluas di Malaysia, di mana varian Delta buat pertama kalinya telah dicatatkan pada April dan bilangan kes terus mencatatkan peningkatan.
Alhamdulillah, kes harian COVID-19, kes sembuh COVID-19 dan juga kes kematian COVID-19 mulai menurun sekitar ME ke-36. Ini satu pencapaian yang baik buat negara. Penurunan kes ini adalah selaras dengan peningkatan kadar vaksinasi di dalam negara di mana Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) telah dimulakan pada bulan 24 Februari 2021. PICK bertujuan untuk membendung penularan jangkitan COVID-19 dan mengurangkan kes jangkitan serius COVID-19 serta kematian COVID-19. Sehingga 11 November 2021, lebih daripada 75.7 peratus (24,730,649) penduduk Malaysia telah menerima dos lengkap vaksin manakala 95.1 peratus (22,258,551 individu dewasa) telah menerima dos lengkap vaksin.
Pelancaran Vaksinasi COVID19 secara besar-besaran telah berjaya menurunkan jumlah kes, kadar kemasukkan ke hospital, ICU dan juga kadar kematian (rujuk Rajah 2). Pelaksanaan PICK adalah berlandaskan bukti dan sains serta mengikut prosedur termasuk mendapat kelulusan daripada regulatori.

Mutakhir ini, terdapat bukti daripada kajian Real World Data bahawa terdapat kesan pengurangan imuniti (waning immunity) terhadap SARS-CoV-2 selepas beberapa bulan lengkap vaksinasi, dan berlaku peningkatan kes jangkitan semula COVID-19 di kalangan penerima vaksin (breakthrough infection). Selain daripada itu kemunculan variant of concern (VOC) juga memberi kesan di mana ianya lebih mudah merebak dan mampu merebak di dalam komuniti dalam tempoh yang singkat. Kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau nilai R-naught (Ro/Rt) mengikut jangkaan kes harian pada 11 November 2021 untuk seluruh negara juga telah meningkat kepada 1.0, lebih kurang lima (5) minggu selepas pergerakan rentas negeri dibenarkan (rujuk Rajah 3).

Jika kita lihat situasi sebelum ini, trend peningkatan kes telah dilihat lima (5) sehingga enam (6) minggu selepas kebenaran rentas negeri diberikan pada 7 Disember 2020 dahulu (rujuk Rajah 4).

Jika kita lihat situasi sebelum ini, trend peningkatan kes telah dilihat lima (5) sehingga enam (6) minggu selepas kebenaran rentas negeri diberikan pada 7 Disember 2020 dahulu (rujuk Rajah 4).
Kedua-dua faktor ini menjadi peringatan awal kepada kita semua agar tindakan secara aktif perlu diambil bagi memastikan kes COVID-19 tidak meningkat semula dengan mendadak. Antaranya dengan mempergiatkan tindakan pemberian vaksin dos penggalak (booster dose).
Rujuk : KPKESIHATAN.COM