COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

ANALISA SITUASI SEMASA JANGKITAN COVID-19 DI MALAYSIA [MINGGU EPIDEMIOLOGI (ME) KE-46

Sehingga 20 November 2021 [Minggu Epidemiologi (ME) ke-46], sebanyak 2,581,747 kes kumulatif COVID-19 telah dilaporkan dengan 69,485 kes aktif dan 29,978 kes kumulatif kematian. Kebanyakan indikator utama jangkitan COVID-19 menunjukkan tren penurunan kecuali purata kes aktif yang meningkat enam (6) peratus berbanding ME ke-45. Tren penurunan purata kes aktif yang dulunya konsisten selama 10 minggu kini telah menunjukkan peningkatan semula selepas lima (5) minggu kebenaran merentas negeri diumumkan. Kesan peningkatan kes baharu dan kes aktif selama dua (2) minggu berturut-turut ini dapat dilihat di mana kemasukan kes ke fasiliti kesihatan terutamanya bagi pesakit Kategori 3 – 5 mulai meningkat. Walaubagaimanapun, keberkesanan vaksin COVID-19 dalam mengurangkan kematian terus dapat dilihat di mana secara keseluruhannya terdapat penurunan kes kematian, kes yang memerlukan rawatan di ICU, dan kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan.

1. Indikator-Indikator Jangkitan COVID-19

Pada ME ke-46 iaitu daripada 14 November 2021 sehingga 20 November 2021;

  • Purata kes aktif menunjukkan peningkatan sebanyak 6.0 peratus iaitu daripada 62,224 kes (ME ke-45) kepada 65,722 kes (ME ke-46).
  • Kes kematian konsisten menunjukkan penurunan sebanyak 7.5 peratus dengan 347 kematian (ME ke-46) berbanding 375 kematian (ME ke-45).
  • Purata kes yang memerlukan rawatan di ICU menunjukkan penurunan sebanyak 10 peratus iaitu 504 kes (ME ke-45) kepada 452 kes (ME ke-46).
  • Purata kes yang memerlukan alat bantuan pernafasan menunjukkan sedikit penurunan (3.3 peratus) dari 186 kes (ME ke-44) ke 179 kes (ME ke-45).
  • Nilai Rt menurun sebanyak 0.8 peratus dari 1.05 (95% CI 1.05 – 1.06) kepada 1.01 (95% CI 1.00 – 1.02) sejak 15 November 2021.

z1

z2

2. Kluster

Sehingga 20 November 2021, terdapat kumulatif 5,878 kluster telah dilaporkan dan hanya 240 kluster masih lagi aktif (penurunan sebanyak 13.7 peratus berbanding ME ke-45). Walau bagaimanapun, kewujudan kluster komuniti yang sebelum ini mencatatkan penurunan semenjak ME ke-30 kini mulai meningkat sedikit pada ME ke-46 selari dengan pembukaan sempadan negeri yang memudahkan masyrakat ziarah menziarahi sanak saudara. Peningkatan kluster komuniti ini bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan memandangkan individu pelbagai lapisan umur hidup bersama dalam satu isi rumah yang sama. Manakala golongan berumur bawah 12 tahun adalah golongan yang belum menerima vaksin COVID-19 dan mempunyai keberangkalian tinggi untuk terkesan sekiranya dijangkiti COVID-19 daripada ahli keluarga mereka.

z3

Bagi mengelakkan penularan jangkitan dalam kalangan orang yang disayangi, disiplin yang tinggi daripada setiap individu terutamanya ibu bapa yang mempunyai anak-anak berumur bawah 12 tahun amatlah diperlukan. Perkukuhkan tindakan kesihatan kendiri dengan mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, and Seek) bagi mendidik diri kita menjadi individu yang bertanggungjawab dan melindungi orang-orang di sekeliling kita daripada risiko jangkitan.

Selain itu, sebanyak 78 kluster telah diisytiharkan tamat pada ME ke-46, lalu menjadikan penurunan sebanyak 22.4 peratus berbanding ME ke-45. Sebanyak 38 kluster telah dilaporkan pada ME ke-46 yang terdiri daripada (Jadual 2);

  • 22 (57.9 peratus) kluster tempat kerja;
  • Sembilan (9) (23.7 peratus) kluster pusat pendidikan;
  • Lima (5) (13.1 peratus) kluster komuniti;
  • Dua (2) (5.3 peratus) kluster kumpulan berisiko tinggi;

z4

3. Kapasiti Hospital

Kadar penggunaan fasiliti kesihatan (Katil Bukan ICU, Katil ICU, dan PKRC) didapati meningkat semula pada ME ke-46. Penggunaan katil bukan ICU di hospital dan PKRC telah mencatat kenaikan dua (2) peratus manakala katil ICU meningkat sebanyak tiga (3) peratus berbanding ME ke-45 seperti yang digambarkan pada Jadual 3. Peningkatan ini adalah selari dengan kenaikan purata kes aktif bagi ME ke-46.

z5

z6

Di peringkat kebangsaan pula, bilangan pesakit COVID-19 Kategori 3 – 5 yang dirawat di fasiliti kesihatan didapati meningkat terutamanya bagi golongan yang berumur 40 tahun ke atas mulai ME ke-44 seperti yang digambarkan di Rajah 3. Golongan 40 tahun ke atas termasuk dalam kategori golongan yang produktif dalam menjana semula ekonomi negara dan sekiranya peningkatan bilangan ini berterusan di minggu-minggu yang akan datang, ianya dilihat akan melambatkan usaha kerajaan dalam memakmurkan semula ekonomi di Malaysia.

Walaupun kebanyakan golongan tersebut telah lengkap divaksinasi mulai pertengahan tahun lalu, kajian terbaru mendapati keberkesanan vaksin akan menurun selepas beberapa bulan, bergantung kepada jenis vaksin yang diambil. Oleh yang demikian, KKM menggesa individu yang mendapat tarikh janji temu dos penggalak vaksin COVID-19 untuk hadir bagi menerima suntikan tersebut.

z7

Selain itu, keberkesanan program vaksinasi remaja (PICK-A) yang telah meliputi 82.3 peratus populasi remaja Malaysia dilihat telah menunjukkan hasil yang bagus dalam melindungi golongan tersebut dari jangkitan COVID-19 yang lebih teruk (lihat garisan merah pada Rajah 4).

Aktiviti Penguatkuasaan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988)

Setiap minggu, KKM sentiasa giat melakukan aktiviti penguatkuasaan pematuhan SOP di seluruh negeri. Pada ME ke-46, sebanyak 344 kompaun dikeluarkan kepada individu. Ini menjadikan peningkatan sebanyak 37 peratus berbanding minggu sebelumnya. Peningkatan kompaun yang dikeluarkan ini menunjukkan masih ramai penduduk Malaysia yang alpa terhadap pengamalan SOP sebagai pencegahan COVID-19 seterusnya berisiko tinggi untuk menyebarkan atau mendapat jangkitan COVID-19.

Berikut merupakan aktiviti penguatkuasaan yang telah dijalankan pada ME ke-45 dan ME ke-46 :

  • Sejumlah 373 kompaun telah dikeluarkan kepada
    • 344 individu (peningkatan 37 peratus) berbanding 251 kompaun pada minggu sebelumnya; dan
    • 29 pertubuhan perbadanan;
  • 66 penutupan premis (peningkatan 1.6 peratus) telah dilaksanakan berbanding 63 penutupan minggu sebelumnya.

z8

z9

Rujuk : KPKESIHATAN.COM

Next Post Previous Post