COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

SOP Sedia Ada Kekal Terpakai Selepas Pergerakan Rentas Negeri Dibenarkan - Menteri Kesihatan

Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sedia ada yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara akan terus dipakai selepas kebenaran pergerakan rentas negeri diberikan tidak lama lagi.
YB Khairy Jamaluddin, Menteri Kesihatan berkata SOP berkenaan akan turut terpakai untuk mengawal pergerakan mereka yang enggan menerima suntikan vaksinasi dengan mengawal kebebasan yang mereka ada untuk melakukan pelbagai aktiviti biarpun mereka merentas negeri.

"SOP MKN yang sedia ada akan terus dipakai, maksud dia apa? Maksudnya kalau SOP yang sedia ada tidak membenarkan siapa-siapa yang tidak menerima vaksin untuk melakukan dine-in di restoran itu (SOP) terpakai.

"Walaupun kita akan kata hanya rentas negeri untuk mereka yang divaksinasi, tidak ada cara untuk kita mengawal pergerakan yang belum divaksinasi, saya akui, kita tidak akan ada sekatan jalan raya tetapi kalau mereka balik atau merentas negeri dan cuba makan di restoran, mereka tidak akan diberi kebebasan sedemikian," kata beliau dalam sidang media Menteri Kesihatan hari ini yang diadakan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) di ibu negara.

Selain itu, YB Menteri berkata pihak kerajaan tidak ada cara untuk melakukan pemeriksaan kepada setiap orang yang merentas negeri untuk diperiksa sama ada mereka divaksinasi atau tidak kerana ia akan lebih menyukarkan pergerakan orang ramai.

Beliau memberi maklumbalas terhadap cadangan untuk mewajibkan ujian kendiri kepada mereka yang masih belum divaksinasi tetapi mahu merentas negeri.

"Kita telah kaji rancangan tersebut, namun demikian tidak ada cara untuk kita menguatkuasakan cadangan tersebut. Takkan kita hendak ada sekatan jalan raya (SJR) dan kita periksa setiap orang yang keluar dan kalau dia tak divaksinasi kita minta dia buat ujian saringan di situ (SJR).

"Saya rasa rakyat lebih marah kalau berlaku kesesakan jalan di mana mereka dah tunggu nak balik kampung tiba-tiba ada sekatan jalan raya di mana ia periksa setiap orang yang mana tidak divaksinasi mereka kena buat ujian kendiri," katanya.

Terdahulu, YB Khairy turun padang membuat lawatan rasmi ke HKL untuk meninjau peranan hospital berkenaan dalam menangani pandemik COVID-19 dan melihat perancangan masa depan hospital itu untuk memastikan ia dapat menampung segala permintaan dan juga perkhidmatan kesihatan yang diperlukan oleh penduduk di Lembah Klang.

Beliau diiringi oleh Ketua Setiausaha KKM Dato' Mohd Shafiq Abdulah , Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah HKL Dr Rohana Johan.

Rujuk : FB KKM

Next Post Previous Post