COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

KEMUDAHAN UJIAN SARINGAN KENDIRI DAN KEPENTINGAN PELAPORAN KEPUTUSAN DI APLIKASI MYSEJAHTERA

KKM ingin mengingatkan individu yang bergejala atau berisiko tinggi terutamanya kontak rapat, agar segera menjalankan ujian saringan COVID-19 dan melaporkan kepada KKM melalui aplikasi MySejahtera. Saringan COVID-19 ini boleh dilakukan sama ada dengan menggunakan kit ujian RTK-Ag (kendiri) atau hadir ke mana-mana fasiliti kesihatan yang berdekatan.
Pengesanan awal kes COVID-19 dengan menggunakan kit ujian RTK-Ag (kendiri) ini boleh membantu individu-individu untuk memantau kesihatan dan menilai risiko kendiri bagi mendapatkan rawatan kesihatan sebelum terlambat sekali gus mengurangkan kes-kes Brought-in-Dead (BID). Selain itu, kit ujian RTK-Ag (kendiri) COVID-19 ini adalah mudah dan pantas untuk dijalankan di samping mempercepatkan proses individu yang positif dikenal pasti dan seterusnya diasingkan supaya risiko penyebaran kepada individu lain terutamanya golongan rentan dapat dikurangkan.

Masyarakat juga dinasihatkan untuk menggunakan kit ujian RTK-Ag (kendiri) yang telah diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) bagi mendapatkan keputusan yang sah. Setiap individu wajib melaporkan hasil keputusan ujian tersebut dalam aplikasi MySejahtera sama ada keputusan positif, negatif, mahupun tidak sah bagi membolehkan tindakan susulan dapat diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selaras dengan pengumuman YAB Perdana Menteri berkenaan Gelembung Pelancongan Domestik Projek Rintis Langkawi, Kerajaan telah mewajibkan setiap pelancong yang akan bercuti ke Langkawi bermula pada 16 September 2021 untuk menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum memulakan perjalanan. Langkah ini adalah untuk memastikan supaya Pulau Langkawi menjadi destinasi pelancongan yang selamat kepada semua pelancong dari dalam mahupun luar negara. Ujian saringan COVID-19 ini juga boleh dilakukan dengan menggunakan RTK-Ag (kendiri) seperti yang telah diumumkan oleh YB Menteri Kesihatan pada hari ini.

CPRC Kebangsaan ingin melaporkan trend bilangan ujian dan kadar positif bagi keseluruhan ujian pengesanan SARS-CoV-2 iaitu PCR, RTK-Ag (profesional), dan RTK-Ag (kendiri) mengikut Minggu Epidemiologi (ME) telah menunjukkan peningkatan berterusan dan memberangsangkan sejak beberapa minggu kebelakangan ini. Perkembangan ini lebih ketara dilihat sehingga 13 September 2021 apabila sebanyak 758,919 ujian RTK-Ag (kendiri) telah dijalankan yang mana, 107,421 (14.5%) telah dikesan positif COVID-19.

Semua keputusan ujian COVID-19 adalah amat penting untuk dilaporkan kepada KKM kerana ia akan mempengaruhi kadar positif jangkitan COVID-19 negara yang dilaporkan selain menunjukkan peningkatan kesedaran orang ramai akan kepentingan melakukan ujian pengesanan SARS-COV-2. Walaupun KKM sentiasa berusaha meningkatkan kapasiti ujian pengesanan SARS-COV-2 di fasiliti kesihatan kerajaan mahupun swasta, namun dengan kerjasama orang ramai melakukan ujian saringan kendiri, jumlah ini dapat terus ditingkatkan.
Justeru, KKM ingin menyeru semua pihak supaya berganding bahu bersama Kerajaan dalam usaha memerangi pandemik COVID-19 melalui pendekatan whole-of-government, whole-of-society agar kita dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa. Pemerkasaan individu dan masyarakat dengan melakukan saringan COVID-19 terutamanya melalui RTK-Ag (kendiri) ini akan membantu negara ke arah mencapai matlamat tersebut.

Rujuk : FB Ketua Pengarah Kesihatan KKM

Next Post Previous Post