COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

KEPENTINGAN SISTEM PENGUDARAAN DAN KUALITI UDARA DALAMAN YANG BAIK BAGI MEMBENDUNG PENULARAN COVID-19

Sejajar dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN), Kerajaan akan melaksanakan inisiatif pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan sosial dari semasa ke semasa mengikut fasa yang ditetapkan. Ini adalah petanda yang positif namun pada masa yang sama, Kerajaan sememangnya sentiasa menekankan agar pembukaan ini dijalankan secara terancang bagi membendung penularan COVID-19.

Sehubungan itu, aspek pengudaraan di semua jenis bangunan seperti tempat kerja, premis perniagaan, institusi pengajian, rumah ibadah, termasuk juga kediaman merupakan antara perkara penting yang perlu dilihat sebagai salah satu strategi bagi mencapai hasrat Kerajaan ini.

Secara umumnya, terdapat tiga (3) jenis pengudaraan yang terdapat di bangunan-bangunan termasuk premis perniagaan dan ruangan tempat kerja, iaitu;

  1. Pengudaraan secara semula jadi;
  2. Sistem penyaman udara tanpa pengudaraan mekanikal (sistem penyaman udara tidak berpusat); dan
  3. Sistem penyaman udara dengan pengudaraan mekanikal (sistem penyaman udara berpusat).

Pengudaraan Secara Semula jadi

Bangunan yang mempunyai pengudaraan secara semula jadi mempunyai risiko yang rendah dalam penularan penyakit COVID-19 dan lain-lain penyakit bawaan udara. Ianya kerana ketumpatan virus yang berlegar di dalam udara membolehkan kesan jangkitan dapat dikurangkan melalui udara secara dilution.

Walau bagaimanapun, perkara-perkara berikut perlu dilakukan sekiranya ruangan tersebut menggunakan sistem pengudaraan secara semula jadi;

  • Buka lebih daripada satu tingkap atau pintu pada bahagian/dinding yang sama (single sided ventilation) sekiranya boleh, kecuali kualiti udara luar tidak baik seperti jerebu dan pencemaran udara yang lain, ataupun keadaan cuaca di luar tidak mengizinkan;
  • Tingkatkan pengudaraan silang (cross ventilation) dengan membuka tingkap atau pintu bahagian bertentangan dan pastikan pintu di dalam ruangan sentiasa terbuka;
  • Buka semua tingkap di dalam ruangan untuk meningkatkan pengudaraan dan pertukaran udara bersih yang lebih kerap; dan
  • Guna kipas untuk membantu meningkatkan peredaran udara dalaman.

Sistem Penyaman Udara Tanpa Pengudaraan Mekanikal (sistem penyaman udara tidak berpusat)

Bagi premis atau ruangan dengan sistem penyaman udara tanpa pengudaraan mekanikal (sistem penyaman udara tidak berpusat), adalah disarankan agar premis dan ruangan tersebut;

  • Meningkatkan pengudaraan dalaman dengan membuka tingkap untuk membolehkan pertukaran udara bersih dengan lebih kerap ke dalam bangunan atau premis. Pastikan tingkap dibuka kecil sekiranya penghawa dingin digunakan;
  • Pasang kipas untuk menambah baik pergerakan udara;
  • Pasang kipas ekzos untuk meningkatkan pengudaraan dan pertukaran udara; dan
  • Amat digalakkan untuk menetapkan suhu antara 23°C hingga 26°C.

Sistem Penyaman Udara Dengan Pengudaraan Mekanikal (sistem penyaman udara berpusat)

Perkara yang perlu diambil perhatian khususnya oleh majikan, pemilik premis dan individu-individu bertanggungjawab bagi menjamin kualiti udara yang baik di dalam bangunan bersistem penyaman udara dengan pengudaraan mekanikal adalah;

  • Semua komponen dan kawalan sistem penyaman udara berpusat, Mechanical Ventilation and Air Conditioning (MVAC) ini hendaklah diselenggara dan berfungsi mengikut reka bentuknya. Seals penapis udara hendaklah dipantau bagi memastikan tiada udara melepasipenapis sedia ada dan penukaran penapis udara hendaklah mengikut frekuensi yang ditetapkan;
  • Meningkatkan pengudaraan udara bersih dari luar melalui bukaan outdoor air damper. Disable Demand Control Ventilation (DSV) di dalam sistem MVAC sekiranya ada;
  • Digalakkan supaya sistem MVAC beroperasi dengan pengambilan udara luar yang maksimum selama dua (2) jam sebelum dan selepas dihuni untuk mengeluarkan udara sedia ada (air flushing) di dalam premis tersebut;
  • Disarankan untuk menaiktaraf penggunaan penapis udara di Unit Pengendali Udara (Air Handling Unit) sedia ada kepada sekurang-kurangnya MERV-14;
  • Penggunaan alat pembersih udara dengan teknologi penapis udara jenis HEPA sebagai langkah tambahan di dalam sistem MVAC tersebut; dan
  • Sebarang pengubahsuaian dan pembaikan sistem MVAC sedia ada hendaklah mengambil kira keupayaan sistem sedia ada dan perlu dirujuk kepada MVAC Professional yang berkaitan.

Selain itu, langkah-langkah pencegahan lain perlu dititik beratkan juga seperti menghadkan bilangan anggota dalam ruangan sempit, memastikan pematuhan pemakaian pelitup muka, dan menjaga penjarakan fizikal bagi mengurangkan jangkitan COVID-19.

Panduan lanjut berkenaan pengudaraan semasa pandemik COVID-19 boleh didapati daripada sumber-sumber berikut;

LIHAT INFOGRAFIK PANDUAN PENGUDARAAN DAN KUALITI UDARA DALAMAN (KUD) SEMASA PANDEMIK COVID-19

Rujukan Terperinci yang di sediakan oleh Kementerian Sumber Manusia boleh dillawati di https://www.mohr.gov.my/index.php/ms/panduan-pengudaraan-dan-kualiti-udara-dalaman-iaq

Residential_Ventilation

Non_Residential_Ventilation

GUIDANCE_VENTILATION_PUBLIC_AREA

Rujuk : KPKESIHATAN.COM

Next Post Previous Post