Kenyataan Akhbar KPK 06 Ogos 2021 – Perkembangan Terkini Pengesanan Jangkitan Kes COVID-19 dan Penilaian Risiko Penularan Jangkitan di Parlimen
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan perkembangan terkini pengesanan kes COVID-19 yang berkait dengan Sidang Mesyuarat Khas Parlimen yang telah diadakan pada 26 Julai sehingga 29 Julai 2021, bertempat di Dewan Parlimen Negara, Kuala Lumpur. Sehingga kini, secara keseluruhannya terdapat 85 kes positif COVID-19 (disahkan dengan ujian RT-PCR) di mana:
- 56 kes telah dikenalpasti hasil saringan Pra-Dewan Rakyat dan empat (4) kes kontak rapat;
- 17 kes dikesan berkaitan semasa persidangan Dewan Rakyat [Sembilan (9) kes telah dilaporkan sebelum ini dan lima (5) kes baharu dilaporkan di antara 30 Julai sehingga 5 Ogos 2021 serta tiga (3) kes kontak rapat]; dan
- Lapan (8) kes saringan Pra-Dewan Negara.
Setakat ini, enam (6) sampel yang berkemungkinan besar adalah varian Delta telah dikesan melalui saringan menggunakan ujian PCR Genotyping Assay. Bagi mengesahkan jenis varian ini, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) sedang menjalankan jujukan genom penuh (whole genomic sequencing) dan masih menunggu keputusan akhir.
Untuk makluman, daripada lapan (8) kes yang baharu yang dilaporkan di antara 30 Julai sehingga 5 Ogos 2021:
- lima (5) kes mempunyai nilai kitaran ambang (CT value) RT PCR di antara 18.00 sehingga 27.68, dan tiga (3) kes dengan CT value di antara 35.14 sehingga 37.59;
- empat (4) kes mempunyai gejala ringan manakala yang lain tidak bergejala;
- tujuh (7) kes positif telah mendapat vaksin COVID-19 (sekurang-kurangnya mendapat satu dos);
- satu (1) kes adalah kanak-kanak berusia tujuh (7) tahun (kontak rapat kes) yang belum layak mendapat vaksin.
Hasil siasatan KKM setakat ini mendapati bahawa besar kemungkinan perkongsian kemudahan asas seperti tandas dan surau oleh ramai individu telah memberi risiko kepada penularan jangkitan COVID-19 di Parlimen. KKM akan terus memantau status kesihatan semua kes positif COVID-19 ini, kontak rapat dan kes baharu yang lain kerana kemungkinan akan dilaporkan kerana masih dalam tempoh inkubasi.
Justeru, adalah dinasihatkan supaya individu yang telah hadir ke Parlimen untuk terus memantau kesihatan kendiri menggunakan aplikasi MySejahtera. Sekiranya bergejala jalani ujian saringan COVID-19 dan mendapatkan rawatan segera.
Sekian, terima kasih.
TAN SRI DATO’ SERI DR. NOOR HISHAM ABDULLAH
KETUA PENGARAH KESIHATAN MALAYSIA
6 Ogos 2021 @ 6:00 petang

Rujuk : KPKESIHATAN.COM