COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

Empat (4) Berita Pilihan KKM Sepanjang MingguLlalu.

/ Berita Pilihan KKM

1. Hospital Serdang

Hospital Serdang menjadi hospital keempat di Selangor sebagai hospital COVID-19 sepenuhnya bermula 29 Julai bagi menghadapi peningkatan kes di Lembah Klang.
Susulan itu, semua perkhidmatan jantung di hospital itu disumberluarkan sepenuhnya ke IJN atau hospital swasta lain bagi memastikan rawatan dapat diberi kepada pesakit COVID-19 terutama pesakit kritikal (kategori 4 dan 5).

Tiga lagi hospital COVID-19 sepenuhnya ialah Hospital Sungai Buloh, Hospital Ampang dan Hospital Selayang.

4berita1

2. Pembatalan Ordinan Darurat tidak menjejaskan perjalanan Akta 342

KKM membuat penjelasan isu Pembatalan Ordinan Darurat tidak menjejaskan perjalanan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 atau Akta 342 sedia ada yang bertujuan mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

Ini kerana, Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) dibuat di bawah subseksyen 11(1) Akta 342 yang memberi kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan tempatan jangkitan.
Perintah ini bertujuan melanjutkan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan yang pada awalnya mula berkuat kuasa pada 18 Mac 2020 dan dilanjutkan bagi tempoh 2 Ogos sehingga ke 31 Disember 2021.

Perintah ini juga berkuat kuasa bersama dengan peraturan yang dibuat di bawah subseksyen 11(2) untuk membolehkan kerajaan menguatkuasakan, antaranya arahan Ketua Pengarah dan peraturan mengenai Pelan Pemulihan Negara.
Justeru, sebarang pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat ketika darurat tidak akan menjejaskan perjalanan Akta 342 yang sedia ada untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

4berita2

3. Tiada tindakan tatatertib terhadap doktor kontrak

Doktor yang sedang berkhidmat secara kontrak yang terlibat dalam Gerakan Hartal pada 26 Julai lalu tidak akan dikenakan tindakan tatatertib.
Jaminan itu diberikan Menteri Kesihatan, Dato’ Seri Dr. Adham Baba kerana berpendirian doktor-doktor itu berhak berkumpul untuk menyuarakan pandangan masing-masing.
“Tiada tindakan terhadap doktor yang terlibat. Mereka berhak berbuat demikian,” katanya di Parlimen pada 27 Julai.

4berita3

4. KKM cadang tangguh Sidang Khas Parlimen dua minggu

Pada hari pertama Sidang Khas Parlimen iaitu 26 Julai, KKM telah membentangkan cadangan penangguhan serta merta jika terdapat kes positif bagi mengelak penularan jangkitan di Parlimen.

Cadangan itu dibentangkan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang mewakili KKM dalam “Mesyuarat Penyelarasan Bagi Urusan Berkaitan Mesyuarat Khas Bagi Dewan Rakyat berikutan Penularan Wabak COVID19”.

Selepas penilaian risiko dengan mengambil kira penularan varian Delta dalam komuniti dan situasi peningkatan kes yang semakin melarat di seluruh negara, KKM telah mencadangkan penangguhan selama dua minggu bermula 29 Julai.

Ujian saringan sebelum dan ketika Sidang Khas Parlimen berlangsung telah mengesan kes positif.

  1. Saringan pra Sidang khas Parlimen - 56 kes positif dan 4 kontak rapat positif.
  2. Saringan Ketika Sidang Khas Parlimen - 11 kes positif (48 kontak rapat dikesan)
  3. Saringan Pra Persidangan Dewan Negara pada 30 Julai mengesan 9 kes positif dan pengesanan kontak rapat sedang berjalan.

Sidang Khas Parlimen menjadi perhimpunan berisiko tinggi berdasarkan 2 faktor berikut:

  1. Faktor epidemeologi

    • 6 kes positif mempunyai kadar kebolehjangkitan tinggi dan berisiko menjadi superspreader.
    • Ramai yang hadir di Parlimen adalah warga emas dengan komorbid yang meningkatkan risiko dan tidak semua yang hadir telah divaksin.
  2. Faktor persekitaran dewan

    • Dewan Parlimen yang tertutup meningkatkan risiko jangkitan kerana virus boleh merebak/tersebar melalui udara dan boleh kekal dalam persekitaran dalam tempoh beberapa jam.
    • Tempoh yang lama dan panjang dalam dewan memberi risiko pendedahan berulang.
    • Perkongsian kemudahan asas seperti tandas dan surau.
    • Penjarakan fizikal dalam dewan kurang 1 meter walaupun ada penghadang meja.

Dr Noor Hisham menjelaskan penilaian risiko ini akan dinilai dari semasa ke semasa.

4berita4

Rujuk : FB KKM

Next Post Previous Post