COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

PENINGKATAN KES KEMATIAN SEBELUM TIBA KE HOSPITAL (BID) PESAKIT COVID-19 DI MALAYSIA

/ Bring In Dead (BID)

Sehingga 2 Julai 2021, KKM telah merekodkan sebanyak 5,327 kes kematian (0.70 peratus) sejak pandemik COVID-19 melanda negara kita. Manakala, sebanyak 4,856 (91.2 peratus) kes kematian telah dilaporkan pada tahun 2021. Daripada jumlah kematian pada tahun 2021, sebanyak 670 (13.8 peratus) kes kematian sebelum tiba ke hospital (BID) dilaporkan. Analisa CPRC Kebangsaan juga mendapati terdapat kenaikan tren kes-kes kematian BID iaitu sebanyak tujuh (7) kali ganda dari bulan April (35 kes) sehingga Jun 2021 (246 kes).

bid1

bid2

Kebanyakan kes kematian BID ini adalah dari kumpulan umur 50 tahun sehingga 70 tahun (iaitu sebanyak 76.7 peratus) dengan sekurang-kurangnya satu komorbid (64.5 peratus). Tiga (3) negeri yang merekodkan kes kematian BID tertinggi pada tahun ini adalah Selangor iaitu sebanyak 181 kes (27.0 peratus), diikuti oleh Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur iaitu sebanyak 78 kes (11.6 peratus), dan Sabah sebanyak 85 kes (12.7 peratus).

bid3

Orang ramai perlu cakna dalam memantau kesihatan kendiri terutamanya apabila disahkan positif dan berada dalam pemantauan di rumah. Berikut adalah langkah-langkah yang perlu dilakukan oleh setiap individu, iaitu;

  1. Jalani pemeriksaan segera sekiranya bergejala atau merupakan kontak kepada kes yang positif;
  2. Amalkan kuarantin kendiri di rumah dengan penuh tanggungjawab sementara menunggu keputusan ujian dan panggilan daripada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan COVID-19 Assessment Centre (CAC);
  3. Maklumkan kepada KKM melalui notifikasi kendiri (self-notification) di aplikasi MySejahtera dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau CAC berdekatan sekiranya didapati positif sama ada melalui ujian RT-PCR atau RTK Antigen;
  4. Segera laporkan sebarang “warning signs” dan dapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berdekatan. Warning signs merupakan gejala yang memberi petanda bahawa keadaan seseorang pesakit COVID-19 semakin teruk. Antara warning signs yang memerlukan rawatan segera adalah seperti berikut:
    • Demam berpanjangan;
    • Kesukaran bernafas;
    • Sakit dada;
    • Kurang selera makan dan minum;
    • Kelesuan bertambah teruk;
    • Perubahan pada status mental seperti kurang tahap sedar dan kekeliruan;
    • Batuk, muntah, dan cirit yang semakin teruk;
    • Kurang buang air kecil;
    • Bibir atau jari menjadi kebiruan; dan
    • Ketepuan oksigen <95%.

Ahli keluarga atau rakan serumah dinasihatkan agar prihatin dan peka terhadap keadaan dan kesihatan pesakit COVID-19 dengan memanfaatkan teknologi komunikasi untuk memantau kesihatan pesakit sepanjang pemantauan kuarantin di rumah.

Selain itu, beberapa langkah telah dan sedang diambil oleh Kementerian dengan kerjasama pelbagai agensi bagi mengatasi situasi berkenaan;

Pengukuhan Fungsi CAC

KKM sedang menambahbaik proses pemantauan oleh CAC di seluruh negara bagi membolehkan penilaian awal menyeluruh dapat dilakukan segera terhadap kes-kes positif. Kes-kes ini seterusnya akan ditentukan sama ada boleh menjalani pengasingan dan pemantauan kendiri di rumah, perlu dimasukkan ke Pusat Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PRKC) atau dirujuk ke hospital. Dengan pengukuhan CAC, pemantauan kes dapat dijalankan dengan lebih baik dan rujukan segera dapat dilakukan sekiranya perlu.

Meningkatkan Kapasiti Makmal

KKM akan terus bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan kapasiti ujian pengesanan virus SARS-CoV-2 harian yang terdiri daripada ujian RT-PCR dan RTK-Ag. Bagi meningkatkan kapasiti ujian RT-PCR, KKM menjalankan kerjasama dengan makmal-makmal dari Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Pertahanan Malaysia, dan makmal-makmal swasta, manakala ujian RTK-Ag pula dijalankan oleh klinik dan hospital swasta secara meluas sama ada secara individu atau mass screening. Kerjasama di antara agensi dan sektor ini telah membolehkan aktiviti pengesanan kes dan tindakan kesihatan awam lain dilaksanakan dengan segera.

Pendigitalan Pengurusan Pandemik COVID-19

KKM akan memulakan inisiatif peranti pintar di beberapa buah CAC termasuk pulse oxymeter bagi memantau keadaan semasa pesakit COVID-19 ketika berada di rumah. Seperti yang diumumkan oleh YB Menteri Kesihatan, inisiatif ini bertujuan untuk mengukuhkan pengurusan pesakit COVID-19. Dengan adanya inisiatif ini, tahap kesihatan kes positif khususnya yang sedang menjalani pengasingan di rumah, dapat diselia dengan lebih baik seterusnya sebarang kemerosotan gejala dapat dikesan dengan lebih cepat.

Next Post Previous Post