COVID-19 MALAYSIA Kementerian Kesihatan Malaysia

SITUASI TERKINI KLUSTER PERAYAAN

/ KLUSTER PERAYAAN

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan bermula 13 Mei 2021 sehingga 10 Jun 2021, terdapat sebanyak 60 kluster perayaan yang berpunca daripada sambutan Hari Raya Aidilfitri (58 kluster) dan Hari Gawai (2 kluster) telah dilaporkan. Sebanyak 13,023 individu telah disaring dalam kluster ini, di mana terdapat 3,511 kes COVID-19 telah dikenalpasti seterusnya menjadikan kadar positif adalah sebanyak 27.0 peratus. Daripada jumlah 3,511 kes tersebut, 20 kematian telah dilaporkan dan sehingga kini 11 kes masih dalam rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Negeri-negeri yang mencatatkan bilangan kluster perayaan yang tertinggi adalah Sabah dengan 11 kluster (18.3 peratus), Sarawak dengan lapan (8) kluster (13.3 peratus), serta Kedah dengan 7 kluster (11.7 peratus).

Situasi peningkatan kes dan kematian yang dilaporkan bagi kluster perayaan ini dianggap serius dan membimbangkan kerana berlaku dalam tempoh masa yang singkat. Sekiranya masyarakat masih lagi leka serta tidak mengambil iktibar dan pengajaran dari aktiviti kunjung-mengunjung dan rentas negeri semasa musim perayaan tersebut, tidak mustahil peningkatan kes secara mendadak berulang di negara kita. Adalah menjadi tanggungjawab semua pihak untuk melindungi golongan rentan, khususnya ibu bapa yang uzur di kampung halaman dengan tidak mendedahkan mereka dengan jangkitan virus SARS-CoV-2 ini.

Kita wajar mencontohi negara-negara jiran yang telah berjaya mengawal situasi pandemik COVID-19 dengan baik di negara mereka. Mereka telah membuktikan bahawa dengan kerjasama antara semua pihak dan kepatuhan yang tinggi kepada prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan, fungsi kehidupan kepada normal mampu menjadi kenyataan.

Oleh itu, rakyat Malaysia digesa untuk kekal duduk di rumah jika tiada keperluan mendesak di luar. Daftarkan diri anda dan ahli keluarga bagi mendapatkan vaksin COVID-19 bagi membentuk imuniti kelompok (herd immunity) dan seterusnya mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk semua lapisan masyarakat.

Rujuk : KPKESIHATAN.COM

Next Post Previous Post